KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 4 Oktober 2010

Kelantan Nyaris Tewas.



Kelantan gagal mengambil kesempatan keatas Negeri Sembilan yang bermain dengan 10 pemain apabila terikat 2-2 dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Perlawanan yang sepatutnya berkesudahan dengan tiga mata sah menjadi milik tuan rumah lebur dengan dua jaringan dari Akmal Rizal dan Zairul Fitree Ishak untuk memberikan kelegaan kepada ribuan penyokong Kelantan yang hadir.

Babak pertama dimulakan dengan kedua-dua pasukan melakukan gerakan perlahan bagi mengelakkan dibolosi pasukan lawan.

Negeri Sembilan lebih bernasib baik apabila berjaya menjaringkan gol pertama melalui Shahruain Abu Samah pada minit ke-21 apabila lorongan cantik S. Kunalan disudahkan dengan baik menewaskan Khairul Fahmi Che Mat di pintu gol Kelantan.

Namun, tuan rumah terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Mohd Rahman Zabul dilayangkan kad merah selepas mengutip dua kad kuning.

Kehilangan seorang pemain merencatkan sedikit corak permainan Negeri Sembilan tetapi kekentalan barisan benteng mereka menyebabkan pemain Kelantan buntu untuk mencari gol penyamaan.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan menambah jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas Azizi Mat Rose melakukan kekasaran di dalam kotak penalti. Abdul Halim Zainal yang mengambil sepakan menyempurnakan peluang itu untuk gol kedua pada minit ke-66.

Tidak tertekan dengan dua gol tuan rumah, Kelantan mengatur gerak dan berhasil menjaringkan gol pertama pada minit ke-70 selepas sepakan cantik Zairul Fitree Ishak menewaskan sama sekali penjaga gol Negeri Sembilan.

Selang dua minit kemudian, Akmal Rizal menggegarkan Stadium Paroi apabila menanduk masuk hantaran lintang Zairul Fitree untuk gol penyamaan Kelantan.

Gol tersebut menyemarakkan semangat Sang Kijang untuk memburu gol seterusnya namun ketumpulan jentera penyudah menyebabkan kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Perlawanan semalam turut menyaksikan ketua jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Hassan diarahkan meninggalkan tempat duduk pegawai selepas membantah keputusan pengadil.

Dengan keputusan seri tersebut, Kelantan tercicir ke kedudukan ketiga selepas mengutip 5 mata dari empat perlawanan manakala PKNS Fc yang membenam KL Plus dengan jaringan 3-2 naik satu tangga setelah mengutip 6 mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular