Pisang tidak berbuah dua kali - Indra
KOTA BHARU - Penampilan kali keempat di pentas perlawanan akhir Piala Malaysia mahu digunakan sebaik mungkin oleh ketua pasukan The Red Warriors, Indra Putra Mahyuddin membantu pasukannya meraih kejayaan musim ini.
Menurut Indra, dia yakin pasukan yang diwakilinya mampu menempa kejayaan kali ini selepas dikecewakan 1-3 oleh Negeri Sembilan di hadapan lebih 50,000 penyokong setia The Red Warriorsmusim lalu.
"Tahun lepas kita tewas dan peluang kali ini merupakan perlawanan ulangan bagi kami. Lantaran itu saya dan rakan-rakan akan buat yang terbaik untuk perlawanan tersebut.
"Saya yakin kita mampu muncul juara berdasarkan kepada pemain yang ada. Saya mohon rakan-rakan sepasukan untuk memberikan tumpuan yang tinggi sepanjang perlawanan tersebut berlangsung," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, semalam.
Dia menjangkakan perlawanan kali ini sengit dan Negeri Sembilan tidak akan memberikan laluan mudah buat Kelantan.
"Kita akui Negeri Sembilan sebuah pasukan yang kuat, mereka mempunyai ramai pemain yang berpengalaman serta mereka berjaya mendakap Piala FA musim ini," katanya.
Sementara itu, bagi perancang tengah Kelantan, Mohd. Badri Radzi yang tidak beraksi pada perlawanan akhir lalu menyimpul azam untuk membantu pasukannya merangkul kejuaraan piala berprestij itu buat kali pertama.
"Musim lalu saya tidak dapat beraksi kerana mengalami kecederaan serius dan terpaksa berehat panjang. Peluang beraksi yang diberikan kali ini akan digunakan sebaik-baik mungkin.
"Ini merupakan penampilan pertama di pentas akhir Piala Malaysia bersama Kelantan dan peluang ini tidak harus dibiarkan begitu sahaja," katanya ketika di temui.
Sebagai anak jati Kelantan beliau bertekad untuk menebus kembali maruah pasukannya selepas aib kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir tahun lalu.
"Jika sebelum ini kita tewas, tahun ini saya mahu buktikan bahawa kita mampu mencipta sejarah buat kali pertama sebagai hadiah buat peminat setia.
"Untuk itu, saya dan rakan-rakan telah bersiap sedia turun berjuang dan berdepan dengan lawan yang sama pada tahun lalu," ujarnya.
Ditanya mengenai peluang Kelantan, Badri memberitahu kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang.
"Walaupun rekod sebelum ini agak berpihak kepada Negeri Sembilan, namun berdasarkan pengalaman lalu, kita maklum di mana letaknya kelemahan dan kelebihan pasukan lawan.
"Pada perlawanan kali ini, saya dan semua pemain kami akan berjuang habis-habisan dan memastikan kejuaraan menjadi milik Kelantan," ujarnya penh semangat.
Malah, katanya dia dan rakan-rakan sepasukan tidak sabar untuk turun beraksi pada perlawanan Sabtu ini.
"Jika Negeri Sembilan mahu mengekalkan piala tersebut di tangan mereka, kami pemain The Red Warriors pula bertekad untuk rampas piala tersebut dan membawanya pulang ke Kota Bharu," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan