Kelantan Garang Di Kota Bharu.
Kelantan  memadamkan seketika kritikan dari pihak penyokong apabila membelasah  PKNS FC 4-0 dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad  Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.
Empat  gol jaringan daripada Farisham Ismail, Akmal Rizal Rakhli, Mohd Badri  Radzi dan Indra Putra Mahayudin memberikan kemenangan kedua kepada Sang  Kijang. 
Perlawanan  dimulakan dengan Kelantan melakukan serangan awal untuk membolosi  gawang pelawat. Minit ke-5, Norfarhan Mohamad hampir meletakkan tuan  rumah didepan namun sepakan separa volley gagal menepati sasaran.
Pada  minit ke-10, Azizi Mat Rose pula kempunan apabila libasan cantik jarak  dekat hasil sambungan dari sepakan percuma Badri Radzi terkena tiang dan  bola yang bergolek gagal disudahkan Akmal yang terlebih dahulu  tergelincir didepan gawang PKNS.
Badri Radzi turut kecewa apabila sepakan percuma dari jarak 20 meter pada minit ke-25 sedikit melewati palang gol.
Dua minit kemudin, tandukan dari Norfarhan turut gagal menewaskan penjaga gol PKNS.
Tidak  disangka, hasil satu lintangan Akmal Rizal kedalam kotak penalti,  penjaga gol PKNS, Saiful Amar Sudar gagal menangkap bola dengan kemas  seterusnya memberi ruang buat Farisham Ismail menyepak masuk bola  kedalam gawang yang terbuka pada minit ke-28.
Minit  ke-36, lorongan dari Badri Radzi kepada Norshahrul disudahkan dengan  sepakan tinggi walau hanya berhadapan dengan Saiful Amar Sudar.
Sepakan  percuma Badri Radzi dari luar kotak penalti pada minit ke-38 melencong  keluar manakala sepakan deras dari luar kotak penalti pemain ini pada  minit akhir perlawanan jauh melewati palang gol.
PKNS  hanya mampu melakukan satu cubaan pada babak pertama melalui Mohd Alafi  Mahmud pada minit ke-41 hasil hantaran dari Mohd Khairu Azrin.
Memasuki  babak kedua, percubaan Norshahrul Idlan Talaha terus kedakapan Saiful  Amar Sudar pada minit ke-47 dan sepakan deras Akmal Rizal pula ditangkap  kemas pada minit ke-49.
Mohd  Alafi Mahmud hampir menyamakan kedudukan buat skuad Sang Semut Api  apabila kuisannya terkena tiang sebelum keluar pada minit ke-51.
Kelantan  akhirnya mendapat gol kedua pada minit ke-53 setelah Akmal Rizal  memanfaatkan kesilapan pertahanan PKNS, Mohd Khari Zainudin dan Mohd  Khairul Nizam Hanif yang gagal mengeluarkan bola hantaran Mohd Farisham  Ismail.
PKNS yang kadangkala melakukan gerakan melakukan satu percubaan melalui Mohamad Khairul Azrin pada minit ke-55.
Kelantan  hampir menambah gol pada minit ke58 setelah sepakan Norfarhan Mohamad  hasil gerakan cantik Norshahrul Idlan terkena palang manakala sepakan  susulan dari Akmal Rizal berjaya ditepis Saiful Amar Sudar sebelum  dikeluarkan pertahanan PKNS dari kotak penalti.
Masih  tidak berputus asa, PKNS melancarkan satu serangan kilat dan tandukan  dari Rajes Perumal hasil hantaran Mohd Fadhil Hashim sedikit keluar dari  pintu gol Sang Kijang pada minit ke-62.
Dua percubaan dari luar kotak penalti, Norshahrul Idlan Talaha dan Badri Radzi pada minit ke-65 dan 68 sedikit tinggi.
Khairul  Fahmi Che Mat melakukan aksi menyelamat cantik apabila menahan sepakan  dari jarak dekat Mahathevan Gengatharan pada minit ke-71 setelah berlaku  keadaan kelam kabut didepan pintu gol Kelantan hasil sepakan sudut  PKNS.
S.  Chanturu yang dimasukkan untuk mengantikan Norfarhan melakukan satu  sepakan deras dari jarak jauh namun keluar pada minit ke-76.
Seminit  kemudian, hampir 15 000 penyokong Red Warriors bersorak girang apabila  hantaran leret Norshahrul kepada Badri Radzi disudahkan dengan sepakan  kencang terus menerjah jaring untuk gol ketiga Kelantan.
Sang  Kijang terus mengukuhkan kedudukan apabila Indra Putra menjaringkan gol  keempat melalui sepakan penalti pada minit ke-85 setelah sepakan  lintang S. Chanturu terkena tangan pertahanan pelawat, Mohd Khairul  Nizam Hanif.
Setelah  gol tersebut, pemain Kelantan mengendurkan sedikit corak permainan  mereka seterusnya memberi ruang buat PKNS melakukan beberapa cubaan  bahaya hampir membolosi gawang tuan rumah.
Percubaan  pertama melalui Rajes Perumal pada minit ke-87 terkena palang gol dan  sepakan dalam kotak penalti dari Mohd Alafi Mahmud pada minit ke-89  berjaya diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat.
Percubaan  tersasar PKNS, Mohd Khairu Azrin pada minit ke-3 masa tambahan menutup  tirai perlawanan dengan Kelantan gah untuk memintas kedudukan pelawat di  tangga kedua kumpulan A selepas mengutip 8 mata dari empat perlawanan.
Kesebelasan Utama:
KELANTAN FA: B. Sathianathan
Khairul Fahmi Che Mat (gk), Azizi Mat Rose, Mohd Farisham Ismail, Mohd Shakir Shaari, Norshahrul Idlan Talaha, Mond Norfarhan Mohamad, Akmal Rizal Rakhli, Mohd Badri Radzi, Mohd Rizal Fahmi Rosid, Indra Putra Mahayudin (c) dan Zairul Fitree Ishak.
Pemain Simpanan:
Syed Adney Syed Hussien (gk), S. Subramaniam, Khairan Eroza Razali, Che Hishamudin Hasan, S.Chanturu, Mohd Daudsu Jamaludin, Hairudin Omar.
PKNS FC: Hj. Abdul Rahman Ibrahim
Saiful Amar Sudar (gk), Mohd Nazrul Shah, Mohd Fadhil Hashim (c), Mohd Khairi Zainudin, Rajes a/l Perumal, Mohd Alafi Mahmud, Mohd Zamri Hasan, Mahathevan a/l Gengatharan, Mohd Khairul Nizam Hanif, Mohd Fitri Omar, Mohd Kharu Azrin.
Pemain Simpanan:
Badruzaman Abd Halim (gk), Fairuz Montana, Mohd Khairul Akhyar, Mohd Khairul Anuar Ramli, Mohd Idris Ahmad, Mohamad Zawawie Ramle.
Pengadil: Shokri Nor
Penolong 1: Sivanesan a/l Muniady
Penolong 2: Wan Ismail Wan Ali
Pegawai Ke-4: Mohamad Che Meh
Pemain Terbaik Perlawanan: Mohd Farisham Ismail (Rating: 9)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan