Menang atau Tersingkir.
Prestasi sebaliknya yang ditunjukkan Kelantan dalam saingan Piala Malaysia membangkitkan perasaan kecewa di hati peminat setia mereka.
Pada permulaan saingan, mereka yakin skuad Red Warriors akan dapat melepasi peringkat kumpulan dengan mudah tetapi kini, harapan mereka bagaikan hancur lebur.
Prestasi tidak konsisten ditambah dengan tekanan selaku pasukan pilihan, Sang Kijang gagal memberikan impak kepada semua perlawanan yang telah dilalui.
Yang bermain di minda penyokong ketika ini, wajarkah ketua jurulatih mengundurkan diri dari skuad Kelantan setelah prestasi hambar ditunjukkan para pemain.
Bagi mereka, ketua jurulatih sudah ketandusan idea dalam merencanakan taktikal seperti mana dilakukan dalam Piala Malaysia 2009 dan Liga Super 2010.
Mereka beranggapan tiada apa yang dapat dibanggakan dengan satu kemenangan, dua seri dan satu kali tewas.
Mereka menuntut perubahan segera kerana mereka mahu pelaburan besar awal musim akan memberikan pulangan lumayan kepada pasukan dan seluruh penyokong Kelantan.
Penyokong Kelantan tidak boleh disalahkan setelah mereka sentiasa berada di belakang pasukan tidak kira di gelanggang sendiri atau arena lawan.
Namun, kegagalan pemain dan pengurusan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi perkara ini menyebabkan rata-rata penyokong mulai merungut dan mula melemparkan kata tidak enak.
Justeru itu, mahu tidak mahu, dalam dua perlawanan terakhir perlu berakhir dengan nota kemenangan. Enam mata maksimum perlu dikutip, seandainya keputusan tidak memihak kepada Sang Kijang ianya bererti perjuangan Piala Malaysia berhenti setakat peringkat kumpulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan