KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 9 Februari 2012

Laporan Perlawanan : Sabah Ikat The Red Warriors.


Sabah menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mengikat Kelantan 0-0 di Stadium Likas, malam tadi.


Bermain didepan ribuan penyokong setia, Sabah nyata menguasai sepenuh masa permainan apabila melancarkan serangan bertali arus untuk membolosi gawang Sang Kijang.

Namun Kelantan terlebih dahulu membuat percubaan melalui sepakan tersasar Mohd Badri Radzi seawal minit ke-3.

Pada minit ke-12, Norshahrul Idlan Talaha gagal menggunakan kesempatan berdepan situasi satu lawan satu dengan Syed Adney apabila sepakannya terkena jaring tepi sebelah kiri pintu gol Sabah.

Seminit berselang, Shahrudin Yakup memulakan pesta serangan ke arah kubu pelawat melalui percubaan padu dari jarak 25 meter namun Khairul Fahmi lebih bersedia menyelamatkan keadaan.

Memasuki minit ke-18, Shahrudin sekali lagi mencemaskan benteng Kelantan dengan sepakan kencang dari luar kotak penalti tetapi Khairul Fahmi terus menjadi penyelamat dengan aksi "super save".

Tidak lama kemudian, giliran Bobby Gonzalez melakukan percubaan volley dari jarak dekat namun Daudsu pantas menampan didalam kotak penalti untuk menyelamatkan gawang.

Serangan Sabah tidak terhenti disitu, kali ini tandukan penyerang import dari Australian, Micheal Baird pantas ditepis keluar Khairul Fahmi pada minit ke-24.

Baird pantas menghadirkan ancaman ke kubu Kelantan dengan memanfaatkan kesilapan awal Indra dan Obinna pada minit ke-28 tetapi gagal membolosi gawang pelawat.

Mereka terus kecewa apabila dinafikan sepakan penalti pada minit ke-32 selepas Baird dikasari S. Subramaniam.

Selang seminit selepas itu, Khairul Fahmi lebih pantas keluar untuk menumbuk keluar serangan yang diatur oleh Shahrudin Yakup kepada Bobby Gonzalez.

Peluang terbuka Kelantan untuk melakukan jaringan adalah melalui situasi satu lawan satu Ghaddar pada minit ke-34 selepas menerima hantaran jauh Shakir tetapi Syed Adney bijak menampan keluar.

Enam minit selepas itu, sepakan Ghaddar dari dalam kotak penalti tersasar keluar.

Percubaan Bobby Gonzalez melalui sepakan rendah dari jarak dekat hanya meniti diatas garisan gol sebelum keluar pada minit ke-42 menutup tirai babak pertama tanpa jaringan.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling mengasak memburu jaringan pertama namun tidak berjaya menembusi kawasan terakhir masing-masing.

Bagi menambah sengat, Ghaddar dikeluarkan dengan memasukkan Ramzul Zahini Adenan.

Kemasukan Ramzul membuka ruang kepada Norshahrul Idlan serta Norfarhan bergerak lebih bebas dalam kawasan Sabah namun setiap gerakan mereka mudah dibaca oleh pertahanan Sabah.

Sabah yang tertekan dengan serangan Kelantan merubah corak permainan dan mula menguasai perlawanan.

Hasil satu serangan balas, Micheal Baird melepasi kawalan tiga pemain Kelantan sebelum melepaskan satu rembatan rendah dari jarak 30 meter tetapi dinafikan dengan pantas oleh Khairul Fahmi.

Memasuki minit terakhir masa perlawanan, Sabah dilihat lebih menguasai perlawanan melalui percubaan bahaya yang diterjemahkan oleh gerakan Baird, Zainizam Marjan dan pemain gantian, Shahrul Azhar Ture.

Peluang terbaik mereka untuk mencatatkan kemenangan diperoleh pada minit terakhir masa tambahan bagaimanapun gagal disempurnakan Alphonso apabila rembatan kencang dari luar kotak penalti terkena tiang gol sebelah kiri.

Kesebelasan Utama:

Sabah : Justin Ganai
Syed Adney (Gk), Mohd Rethaudin (Kp), Ronny Harun, Alto Linus, Sumardi Hajalan (Shahrul Azlan Ture), Mohd Fariss Azlan, Zainizam Marjan, Brendan Gan, Bobby Gonzalez (Leopold Alphonso), Micheal Baird dan Shahrudin Yakup.

Kelantan : Peter James Butler
Khairul Fahmi (Gk), S. Subramaniam, Obinna Nwaneri (Farisham Ismail), Aziz Ismail, Daudsu Jamaludin, Mohd Badri Radzi (Kp), Indra Putra, Shakir Shaari (Rizal Fahmi Rosid), Norfarhan Mohamed, Mohamad Ghaddar (Ramzul Zahini) dan Norshahrul Idlan Talaha.

Statistik

Gol
Sabah 0-0 Kelantan

Percubaan
Sabah 17-9 Kelantan

Kad Kuning
Sabah 4-7 Kelantan

Kad Merah
Sabah 0-0 Kelantan

Offside
Sabah 5-4 Kelantan

Posisi Bola (%)
Sabah 55-45 Kelantan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular