KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 8 Februari 2012

Kijang Awasi Sang Badak

piya2012

Menjelang pertemuan perlawanan Sabah menentang Kelantan pada malam esok, skuad The Red Warriors dan pengurusan KAFA baru sahaja tiba di Sabah dengan penuh semangat memburu tiga mata berharga untuk terus kekal di tahta liga dan akan cuba menutup aib dua kekalahan dalam perlawanan persahabatan lalu serta kebuntuan mencari pemain import terbaik untuk posisi serangan.

Kehadiran skuad The Red Warriors pasti akan menarik minat ramai penyokong setia Sabah datang memberi sokongan padu kepada pasukan mereka yang akan beraksi melawan skuad Kelantan yang sering menjadi idaman semua pasukan dan penyokong di Malaysia kerana ingin melihat pasukan Kelantan ini dimalukan oleh pasukan mereka.

Kemarau gol jaringan Ghaddar bukanlah masalah besar kepada skuad Kelantan kerana Ghaddar dilihat dapat membantu Norshahrul dan pemain lain sebaik mungkin . Kehadiran Obinna Nwaneri juga akan mencuri tumpuan dan boleh diletakkan sebagai pengganti Azizi Mat Rose yang masih dalam kecederaan akibat kemalangan.




Sessi Latihan di Stadium Likas petang tadi


Selain Norshahrul dan Ghaddar di bahagian serangan, Peter Butler dijangka menyenaraikan taktikal 4-4-2 dengan Daudsu, S Subramaniam, Farisham, Obinna Nwaneri di bahagian pertahanan, Indra Putra, Norfarhan, Shakir dan Piya di bahagian tengah.

Sabah dijangka tidak memberi laluan mudah kepada Kelantan, Justin Ganai yang bijak membuat percaturan pasti akan memberi tugasan besar kepada dua pemain import mereka Michael Baird dan Brendan Gan yang masih belum berjaya memikat penyokong Sabah bagi mengawal dan mengatur serangan dari bahagian tengah. Bobby Gonzales dan Juffry Omopor atau dikenali Messi Sabah pula akan dijadikan senjata penggempur utama kubu Kelantan.

Bagi penyokong Kelantan dan Malaysia kelibat Brendan Gan turut menjadi perhatian mereka setelah pemain kelahiran Australia/Malaysia ini pernah dikaitkan untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan namun statusnya yang bukan warganegara Malaysia meskipun ibubapanya rakyat Malaysia menghalang niat FAM memanggil pemain ini.

Kebangkitan Sabah daripada ketinggalan 2-0 kepada PKNS dengan mencatat keputusan seri 2-2 pada 27 januari lalu tidak harus di ambil mudah oleh barisan pemain Kelantan yang dilihat masih mempunyai kelemahan di bahagian pertahanan.

Begitu juga rekod perlawanan kedua-dua pasukan ini, keputusan masih kurang memberansangkan meskipun Kelantan seri 0-0 pada 16/4/2011 di Kota Bharu dan Kelantan menang 2-1 di Likas. Oleh itu, Kelantan harus bersedia mengekang segala asakan Sabah sebaik mungkin dan memastikan tidak keciciran mata pada malam esok. Keputusan semasa Liga Super 2012, Sabah hanya menang sekali daripada lima perlawanan yang dilalui manakala Kelantan pula mempunyai cabaran besar mempertahankan rekod tanpa kalah mereka.

Tahniah dan terima kasih kepada penyokong setia The Red Warriors yang sanggup terbang dari semenanjung ke Sabah dan penyokong setia Kelantan dari kawasan sekitar Sabah yang akan menggegarkan sorakan gomo kelate gomo di bumi Kota Kinabalu ini. Sokongan anda akan memberi tonik dan aura tenaga kepada seluruh pemain nanti.

Ayuh para pejuang sejati The Red Warriors lupakan sejenak kekalahan lalu, marilah bersama-sama kita bangkit bersama pemain yang tidak pernah kenal erti penat lelah bagi memastikan kejayaan The Red Warriors. Hanya doa sahaja yang mampu diiringi daripada penyokong Kelantan di seluruh dunia. SABAH TATAP VS GOMO KELATE GOMO.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular