KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 27 Februari 2012

Bojan ambil tempat Butler?


Bojan Hodak


SELEPAS diselubungi pelbagai kontroversi melibatkan pelbagai isu termasuk gelagat pengendalinya, Peter James Butler yang tiba-tiba menghilangkan diri, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dikatakan akan mengambil satu lagi keputusan drastik.

Difahamkan, Butler kini berada di Indonesia untuk mengadakan perbincangan dengan sebuah kelab bola sepak di sana.

Jurulatih dari Halifax, England itu kemungkinan akan kehilangan posisinya sebagai ketua jurulatih Kelantan dan tempatnya dikhabarkan bakal digantikan oleh bekas jurulatih UPB-MyTeam, Bojan Hodak (gambar kecil).

Sumber dalaman KAFA memberitahu, tindakan tersebut telah mendapat restu daripada pihak pengurusan KAFA.

Menurutnya, tindakan untuk memecat Butler belum diambil dan sehingga kini, KAFA sedang menunggu surat tunjuk sebab daripada jurulatih tersebut berikutan kenyataan yang dikeluarkan kepada media minggu lalu.

“KAFA memberikan beliau (Butler) masa untuk menjawab surat tersebut, namun sehingga kini kita tidak tahu ke mana beliau menghilangkan diri dan ia sedikit menimbulkan kerumitan dalam menyelesaikan masalah ini.

“Perkembangan yang berlaku ini mungkin akan menjadi faktor penting pelantikan Bojan untuk menduduki ‘kerusi panas’ itu sedikit masa lagi,” katanya.

Tambahnya, Bojan yang kini diberi tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Al-Hamra Red Warriors (Army) menjadi antara individu paling dekat untuk mengisi kekosongan tersebut jika Butler membuat keputusan meninggalkan Kelantan.

“Ini disebabkan jawatan Bojan selaku CEO Army merangkap pengarah kejurulatihan, memungkinkan beliau untuk terus menjawat jawatan sebagai ketua jurulatih Kelantan,” katanya.

Sumber berkenaan turut memberitahu, Bojan telah mula memainkan peranannya selaku pengganti Butler apabila menjadi mastermind ketika Kelantan turun menentang Singapore Armed Forces (SAF) pada perlawanan persahabatan malam kelmarin.

Beliau juga dikatakan akan turun mengendalikan sesi latihan Kelantan bermula hari ini.

Sebelum ini, Bojan pernah melatih UPB-My Team selama tiga tahun bermula 2006 sebelum beliau berhijrah ke Phnom Penh Crown FC dalam Liga Kemboja selama enam bulan pada musim 2011-2012.

Pencapaian terbaik Bojan dalam bidang kejurulatihan ialah membantu kelab China, Shandong Luneng Taishan FC muncul naib juara Piala FA di negara berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular