KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 13 Januari 2011

Tiga Pemain Bakal Digugurkan Dalam Masa Terdekat


Zahasmi Ismail (dua,kiri) dan pembantunya Hamid Ramli (kiri) dan Mohd Nafuzi Zain (kanan) ketika menyampaikan taklimat ketika sesi pemilihan pemain di padang HUSM, Kubang Kerian, baru-baru ini.

KOTA BHARU – Persiapan Skuad Piala Presiden Kelantan kini dalam fasa terakhir membentuk sebuah pasukan yang disifatkan paling mantap setelah sesi pemilihan pemain yang berlangsung baru-baru ini telah mengenalpasti seramai 28 pemain terpilih untuk berada dalam senarai akhir pemilihan pemain skuad tersebut.

Ketua Jurulatihnya, Zahasmi Ismail berkata, daripada 28 pemain yang terpilih menjalani latihan pusat, beliau akan menggugurkan tiga pemain bagi melengkapkan senarai 25 pemain yang akan didaftarkan sebagai pemain Piala Presiden Kelantan musim ini

“Kita dalam peringkat akhir untuk memilih seramai 25 pemain yang akan menyarung jersi Kelantan musim ini. Pengguguran tiga pemain akan dilakukan dalam masa terdekat bagi membolehkan kita membentuk sebuah pasukan yang mantap selepas ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Latihan pusat baru sahaja bermula sejak dua hari lalu dan kita memilih Padang Penjara di Pengkalan Chepa sebagai gelanggang latihan kerana sebelum ini kita menghadapi beberapa masalah mencari padang untuk menjalani latihan.

“Kita bercadang mengadakan siri perlawanan perlawanan persahabatan diluar Kelantan selepas ini bagi menguji kekuatan pasukan sebelum memulakan aksi sebenar sepak mula Piala Presiden pada 9 Februari depan,” katanya.

Menurut Zahasmi, seramai 10 pemain daripada pemain skuadnya termasuk beberapa tonggak musim lalu seperti Mohd Aris Zaidi, Mohd Zamri Ramli dan Mohd Izwan Salahuddin akan menjalani bersama skuad Liga Super Kelantan.

“Konsep kita pada masa kini cukup mudah, apa yang pasukan Liga Super Kelantan mahukan, kita akan bagi kepada mereka kerana kita sememangnya menjadi sebuah pasukan yang berperanan menyediakan pemain pelapis kepada pasukan utama.

“Beberapa pemain muda negeri ini yang pernah beraksi dengan pasukan luar sebelum ini seperti Mohd Ehsan Yusri (KM Naza), Mohd Norshahrul Hawari (Shahzan Muda), Mohd Manaf Mansur (T-Team) dan Muizzuddin Marzuki (KL Plus FC) turut mencuba nasib untuk bermain bersama dengan kita musim ini.

“Bahkan kita turut menyenarai pendek tiga pemain bawah umur 18 tahun iaitu Mohd Azmi Hamzah, Mohd Akid Ramli dan Mohd Hanafi Abdullah dalam sesi pemilihan pemain kali ini,” katanya.

Musim ini, Zahasmi akan dibantu oleh Mohd Nafuzi Zain yang bertindak sebagai penolong jurulatih disamping jurulatih penjaga gol sekali lagi dipikul Hamid Ramli.

Sejak dua tahun berturut-turut, skuad Piala Presiden Kelantan gagal melangkah ke peringkat suku akhir setelah sekadar menduduki tangga pertengahan saingan liga peringkat kumpulan sahaja dan melihat kepada persiapan awal kali ini, barisan pemain muda Kelantan seharusnya tidak mempunyai masalah untuk melepasi saingan peringkat kumpulan pada musim ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular