The Red Warriors 2011 Dilancarkan.
Majlis memperkenal pemain dan jersi Kelantan berlangsung meriah dengan kehadiran lebih dari 2000 penyokong setia di ruang legar pasaraya KB Mall, Kota Bharu, petang tadi.
Majlis yang turut disertai barisan tertinggi KAFA, barisan penaja dan semua pemain Red Warriors 2011 diserikan dengan kehadiran Presiden Kelab Liga Kejohanan England, Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee.
Dalam ucapan yang disampaikan di hadapan semua pengunjung, Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan bahawa pihak persatuan akan meminta bantuan pemilik kelab dari England itu untuk membina sebuah stadium baru kepada pasukan Kelantan.
KAFA juga akan bekerjasama dengan kelab itu dalam beberapa perkara utama termasuk pentadbiran dan pengurusan pasukan.
Annuar turut mengatakan bahawa pasukan Kelantan secara dasarnya hanya menjalinkan hubungan persahabatan dengan Cardiff dan belum membuat sebarang hubungan secara rasmi.
Datuk Chan yang hadir turut melakukan kejutan apabila memberi penajaan RM100 000 kepada Sang Kijang selain berjanji akan membawa pegawai, pemain dan penyokong bertuah ke Cardiff untuk melihat penyerang sensasi mereka, Craig Bellamy.
Majlis ini turut menyaksikan pembaharuan KAFA dalam arena bola sepak negara apabila bertindak melancarkan kad keahlian TRW kepada penyokong pasukan bola sepak Kelantan.
Pelbagai pakej disediakan dengan banyak kemudahan bakal diperolehi pemilik kad keahlian TRW.
Selain menyaksikan detik pelancaran, semua peminat yang membanjiri ruang legar pasaraya juga dapat menyaksikan dengan lebih dekat Piala AFF Suzuki, Piala Malaysia dan juga Piala Emas Raja-Raja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan