KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 13 Januari 2011

Kelantan Hilang Hak Tuan Rumah?


Pekerja mengecat bahagian tempat duduk penonton di Stadium Sultan Muhammed IV, semalam sebagai persediaan untuk saingan Liga Malaysia 2011 tidak lama lagi. Gelanggang pasukan Kelantan itu merupakan antara stadium yang belum memenuhi syarat yang ditetapkan oleh FAM.

PETALING JAYA – Juara Piala Malaysia 2010, Kelantan bakal kehilangan hak dan kelebihan bermain di gelanggang sendiri serta sepak mula sebelah malam bagi beberapa perlawanan awal Liga Malaysia musim ini, apabila Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu masih belum memenuhi dua syarat utama pertandingan tempatan.

Gara-gara keadaan padang dan tahap pencahayaan kurang memuaskan, gelanggang keramat Wira Merah itu kini diarahkan diperbaiki dalam tempoh antara 15 hari sehingga seminggu sebelum perlawanan awalnya oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Kelantan bagaimanapun akan membuka Liga Super musim ini dengan bertandang ke Stadium Shah Alam bagi perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah dengan juara bertahan, Selangor pada 29 Januari ini, serentak dengan enam lagi perlawanan lain.

Turut mendapat amaran itu ialah empat lagi pasukan Liga Super; Terengganu, Sabah, Perak dan Johor FC manakala Sarawak, Sime Darby, PKNS, Angkatan Tentera Malaysia, Pos Malaysia, Harimau Muda B, Majlis Perbandaran Muar dan Johor mewakili Liga Perdana.

Gelanggang sendiri semua pasukan ini didapati rosak, botak, berumput tidak sejenis, tidak rata dan berlopak, selain tidak memiliki tahap pencahayaan lampu sehingga 800 lux untuk dilangsungkan perlawanan yang bermula pukul 8.45 malam.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Hamidin Amin berkata, gelanggang terlibat ialah Stadium Sultan Muhammed IV Kota Bharu, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, Stadium Likas Kota Kinabalu, Stadium Perak Ipoh dan Stadium JCorp, Pasir Gudang.

“Lain-lain stadium yang terlibat ialah Stadium Sarawak Kuching, Stadium Petaling Jaya, Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Stadium Larkin Johor Bahru,” katanya yang juga Naib Presiden FAM selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kali kelima di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Katanya, jawatankuasa masih cuba bertolak ansur dengan kesemua pasukan terlibat dan pihak pengurusan gelanggang apabila mengurangkan tahap pencahayaan lampu stadium kepada cuma 800 lux sedangkan ia sepatutnya ditetapkan pada 1,200 lux jika menurut peraturan pertandingan antarabangsa.

“Kami bukan mahu menghukum secara melulu dengan memberikan tempoh muktamad ini tetapi kami mahu semua pihak terlibat, mengambil berat dan mengenakan langkah berjaga-jaga, sejajar syarat pertandingan dan kualiti Liga Malaysia mulai musim 2011,” katanya.

Tegas Hamidin, kegagalan pihak berkenaan mematuhinya juga akan menyebabkan mereka terpaksa mengalihkan beberapa perlawanan awal di tempat sendiri ke stadium yang mungkin di tempat terdekat, negeri berjiran atau lebih jauh sekiranya tuan rumah asal di situ, dijadualkan bermain di gelanggang lawan pada hari berkenaan.

“Ini bererti ada kemungkinan Kelantan dan Terengganu umpamanya, terpaksa bermain di Stadium Darul Aman, Alor Setar bagi perlawanan tempat sendiri, selagi gelanggang utama mereka masih gagal mencapai syarat utama pertandingan iaitu padang dan lampu.

“Jawatankuasa juga membenarkan permintaan Pulau Pinang untuk melangsungkan perlawanan Liga Perdana musim ini di Stadium Bandaraya mulai 4.45 petang, begitu juga di gelanggang yang dilarang dimainkan perlawanan sebelah malam atau 4.15 petang bagi Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular