Kelantan Terus Dihimpit Duka
KOTA BHARU – Juara Piala Malaysia musim lalu, Kelantan terus dihimpit episod kedukaan setelah tewas dua perlawanan berturut-turut kepada pasukan utara tanah air, dalam siri kedua persiapan pra-musim pasukan ini bagi menghadapi Liga Malaysia tidak lama lagi.
Dalam perlawanan persahabatan pertama di Alor Setar, Kelantan tewas 0-1 di tangan tuan rumah Kedah, hasil jaringan sendiri pemain tengah, Khairan Eroza Razali pada minit ketiga separuh masa kedua.
Sementara dalam perlawanan persahabatan kedua menentang pasukan Pulau Pinang USM FC malam semalam, Kelantan sekali lagi membuktikan kemenangan yang dicari, tetapi kekalahan yang ditemui apabila jaringan pemain pemain tuan rumah, Mohd Baser Mohd Napae pada min-45 perlawanan sudah cukup untuk menghimpunkan rekod lima kekalahan daripada tujuh perlawanan persahabatan yang diharungi oleh Kelantan setakat ini.
Ternyata, situasi ini mula mencemaskan peminat setia bola sepak Kelantan, tatkala sepak mula Liga Malaysia menentang Selangor dalam perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah hanya berbaki tidak sampai dua minggu sahaja lagi.
Kehilangan tiga pemain tonggak yang berhijrah tanpa mengikut saluran yang betul, tidak harus dijadikan alasan mencacatkan persiapan pasukan The Red Warriors pada musim ini, sebaliknya pengganti mereka tidak kurang hebatnya kerana mempunyai pengalaman luas sebelum ini bersama pasukan masing-masing.
Sebaliknya tanpa tiga tonggak tersebut sekalipun, Kelantan harus gagah maju ke depan kerana bola sepak jelas tidak bersandarkan kepada kemahiran individu tertentu, sebaliknya bermain sebagai satu unit pasukan merupakan resipi utama kejayaan sesebuah pasukan.
Dua perlawanan persahabatan terakhir, iaitu menentang Perlis dan Pulau Pinang, menjadi kayu pengukur sejauh mana keserasian dan persefahaman, di antara para pemain dapat dibentuk tambahan pula ini merupakan pertama kali 27 pemain skuad TRW dapat dihimpunkan kali ini.
Mungkin masih belum tertekan bagi pengendali, B Sathianathan untuk menekan butang panik apabila melihat deretan kekalahan demi kekalahan menghantui skuad kendaliannya. Beliau tidak kisah mengenai kekalahan itu kerana keputusan perlawanan tidak penting, tetapi beliau mencari keserasian di antara pemain sebelum boleh menamakan barisan terkuat skuad Kelantan musim ini.
Tetapi situasi kekalahan ini, ternyata tidak menggembirakan para peminat setia Kelantan apabila terpaksa berhadapan juara Liga Super musim lalu, Selangor di Stadium Shah Alam pada 29 Januari ini.
Hanya masa akan menentukan, yang pasti, peminat setia tidak merelakan Piala Sultan Haji Ahmad Shah itu bulat-bulat diserahkan kepada Red Giants, tatkala sasaran Kelantan pada musim ini ialah merangkul tiga piala kejuaraan, selain mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan