Detik getir
KEDUA-dua pengendali - K Devan dan Datuk M Karathu - harus ceria kerana memiliki limpahan pemain untuk mencongak kesebelasan terbaik bagi pertembungan perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah, malam ini.
Kelantan akan melangkah turun ke Stadium Shah Alam dengan sedikit perasaan gementar kerana beraksi buat julung kali dalam perebutan piala berusia 26 tahun ini manakala Selangor beranggapan sorakan padu penyokong Merah Kuning akan menjadi faktor pembantu utama dalam merencanakan satu lagi kejayaan di laman sendiri.
Apapun, Kelantan seperti merendahkan diri apabila menganggap mereka sebagai barisan ‘underdog’ tetapi status selaku juara baru Piala Malaysia harus menyajikan satu lagi aksi terpuji daripada mereka, apa lagi sentuhan Karathu yang kembali menabur bakti selepas kali terakhir membimbing The Red Warriors pada 1993.
Perlawanan tumpuan lain seperti Negeri Sembilan melawan Harimau Muda A serta bekas juara, Kedah bertembung T-Team harus menerbitkan satu lagi saat ghairah kepada penonton ketika Liga Super yang membuka tirai, malam ini ditakrif akan kembali menambat hati penonton yang sudah mula mencintai bola sepak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan