KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 14 Januari 2011

Kerja Naiktaraf Giat Dijalankan – Abdul Fattah


Abdul Fattah Mahmood

KOTA BHARU – Masalah lampu limpah Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu dijangka selesai tidak lama lagi apabila pihak Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) kini sedang giat berusaha menaiktaraf lampu limpah di stadium tersebut sebelum sepak mula perlawanan sulung Liga Malaysia pada 29 Januari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, pihaknya juga telah menghantar surat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Kerja-kerja untuk memperbaiki keadaan permukaan padang juga sedang giat dijalankan selepas ianya rosak teruk akibat musim tengkujuh yang melanda penghujung tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu semalam.

“Kelmarin saya sudah memanggil pegawai daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan kerja-kerja menaiktaraf lampu limpah dapat disiapkan segera sebelum perlawanan liga bermula penghujung bulan ini.

“Mengenai masalah padang, semalam saya sudah tengok, petang ini (petang semalam) juga saya akan pergi tengok sekali lagi masalah padang dan sebagainya. Insya Allah, sekiranya kerja-kerja menaiktaraf masalah tersebut dapat diselesaikan sebelum hujung bulan ini, saya percaya kita dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak FAM,” katanya.

Dalam pemeriksaan awal oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM pada 20 Disember lalu, Stadium Sultan Muhammed IV,tersenarai antara beberapa gelanggang pertandingan yang tidak mendapatkan kelulusan awal untuk digunakan dalam perlawanan Liga Malaysia musim ini setelah tahap pencahayaannya tidak mencapai tahap minima 800 lux seperti yang ditetapkan.

Sementara itu, Abdul Fatah turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima surat daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk mengadakan satu majlis khas bagi mengagihkan wang bonus kemenangan Piala Malaysia sebanyak RM200,000 kepada para pemain skuad Kelantan musim lalu.

“Kita baru menerima surat daripada pihak Kafa dan saya sendiri telah bercakap dengan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, dan kita akan buat satu majlis keraian sebelum perlawanan pertama Liga Malaysia pada 29 Januari ini,” katanya.

“Kerajaan negeri juga turut bersetuju untuk memberikan insentif kepada Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (PBSMK) sebanyak RM100,000 diatas kejayaan menjulang Piala Emas Raja-Raja kali ke-13 baru-baru ini.

“Kita sentiasa menyokong penuh usaha persatuan-persatuan bola sepak mencipta kejayaan dan mengharumkan nama negeri ini dan disebabkan itu kita bersetuju memberikan insentif ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular