Preview : Red Giants vs Red Warriors
Setelah berakhirnya musim tengkujuh yang banyak melanda negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung, Malaysia akan dihangatkan lagi dengan gelombang baru yang akan membadai bermula 29 hb Januari 2011. Demam bolasepak yang masih lagi terasa semenjak Malaysia memenangi Piala AFF Suzuki Cup mengalahkan Indonesia menyebabkan dunia siber semakin bercambah dengan blog-blog, petikan twitter, fanpage di facebook dan juga forum bolasepak.
Seperti juga mana-mana liga bolasepak lain, musim bolasepak Malaysia untuk tahun 2011 akan bermula dengan perlawanan Piala Sumbangsih / Piala Sultan Hj Ahmad Shah. Sedikit kontroversi timbul akhir tahun lepas bila Negeri Sembilan mengungkit siapa yang sebenarnya layak bertanding untuk mendakap piala pertama untuk tahun 2011. FAM bagaimanapun telah memutuskan bahawa Selangor sebagai Juara Liga Super akan melayan Kelantan selaku penyandang Piala Malaysia. Perlawanan ini selain mempertaruhkan piala dan hadiah wang ringgit, ia juga menjadi taruhan Tiga Mata yang perlu untuk bekalan awal samada Selangor atau Kelantan bagi memimpin Liga Super tahun ini.
Jadi 29 haribulan Januari 2011 bertempat di Stadium Shah Alam akan sekali lagi menjadi venue yang sudah tentu akan mendatangkan gerun bukan hanya kepada pemain di atas padang, tetapi juga untuk para penyokong yang memang sudah faham sangat suasana yang akan ‘panas’ nanti. Dengan isu-isu yang boleh dikatakan akan menjadi ‘firestarter’ seperti imbasan suasana tegang Suku Akhir Pertama Piala Malaysia tahun lepas, ‘status 3 Abdul’ dan yang terbaru pula pergantungan 6 bulan jurulatih utama Kelantan iaitu B Sathianathan, menyebabkan PDRM dan FRU harus bertindak bijak menangani keadaan yang mungkin panas nanti.
Sayugia diingatkan bagi setiap penyokong bolasepak Kelantan, perlawanan 29 hb nanti adalah bukan satu perlawanan untuk 3 mata. Ianya bukan sekadar peluang menambah koleksi Piala. Medan stadium Shah Alam juga bukan ruang untuk menambah kantung yang ada walaupun FAS mengambil jalan singkat menaikkan harga tiket ke RM 20.00 ( FAS hampeh). Penyokong Kelantan juga bukan berpendapat ia kan menjadi medan siapa lebih ‘membunuh’ antara Nor Shahrul Idlan dengan Safee Sali. Juga bukan sekadar ingin melihat samada Safee dapat melepasi gawang yang dikawal Apek/Khairul Fahmi. Ianya lebih dari itu…
Dalam konteks bolasepak Malaysia hari ini, sekiranya Selangor bertemu Kelantan, sudah tentu Pakcik-pakcik akan berfikir lima-enam kali sekiranya ingin membawa makcik-makcik ke Stadium untuk menonton perlawanan tersebut. Apatah lagi jika mereka ada niat membawa anak-anak kecil ke stadium. Ini ialah REALITI..
Sememangnya suasana diluar Padang yang semestinya hangat sememangnya menjanjikan persaingan sengit di atas padang. Dengan kelompok pemain dan jurulatih yang disegani iaitu K Devan dan juga Dato’ M Karathu yang yang sempat melatih pemain Kelantan hanya 2 hari, perlawanan Piala Sultan Hj Ahmad Shah pasti menjanjikan pertarungan epik sebagai pemula musim Liga Bolasepak Malaysia 2011. Sekadar pendapat, berikut ialah analisis percaturan bagi setiap penjuru yang akan menentukan siapa yang lebih berpeluang menjulang kejuaraan pertama musim ini.
PERSIAPAN PRA MUSIM
Sememangnya Selangor lebih menonjol dalam hal persiapan pra musimnya, dengan bantuan kewangan yang mantap, mereka memulakan persiapan pra musim dengan membawa nadi pasukan Kuala Lumpur tahun lepas iaitu Azidan Sarudin . Takkala pasukan lain masih terkial-kial dengan persiapan, Pasukan Selangor telah terbang ke Australia dan menjalankan beberapa perlawanan persahabatan yang berkesudahan 1 menang, 1 seri dan 1 kalah. Manakala itu pula, persiapan pasukan Kelantan penuh dengan liku-liku. Jadual padat sambutan kemenangan tahun lepas, masalah padang, masalah pemain yang ‘cabut lari’, masalah monsoon yang melanda dan isu stadium mewarnai persiapan Kelantan kali ini. Isu penggantungan B Sathianantan secara mengejut juga menambah luka yang ada terhadap FAM dan mujurlah tindakan Presiden KAFA yang pantas dengan mengambil M Karathu sebagai jurulatih utama Red Warriors untuk musim ini. Berikut ialah keputusan penuh perlawanan pra musim yang kebanyakkannya diadakan di luar Kelantan.
Kelantan vs Pasukan gabungan jajahan – 3:0
Kelantan vs Kelab Liga Presiden KAFA – 6:0
Kelantan vs Pulau Pinang – 1:1
Kelantan vs Harimau Muda – 1:4
Kelantan vs Sarawak – 1:2
Kelantan vs Felda United – 0:4
Kelantan vs Sime Darby – 1:1
Kelantan vs USM – 0 : 1
Kelantan vs Perlis – 2:0
Kelantan vs Pulau Pinang 4 : 0
Kelantan vs Kedah – 0 : 1
Jika dilihat daripada perlawanan pra musim Kelantan, hanya kemenangan menentang Perlis dan Pulau Pinang yang boleh dibanggakan. Kekalahan kepada pasukan ‘lemah’ seperti USM dan kekalahan teruk seperti dengan Harimau Muda, Felda dan Kedah menunjukkan pencapaian sebenar persiapan pra musim Red Warriors. Walaupun ramai mungkin berpendapat kehilangan ‘Tiga Abdul’ sebagai penyebab, ia sememang alasan yang dhaif kerana sepatutnya kehilangan Azizi saja yang agak dirasakan kerana pengganti Indra dan farhan memang sama atau mungkin lebih hebat dari mereka berdua.
JURULATIH DAN PEMAIN
Sepatutnya kelebihan yang berpihak kepada Kelantan telah dinafikan saat akhir oleh FAM dengan menggantung Sathia. Seperti yang sedia maklum, K Devan kerap membuat beberapa kesalahan dengan melakukan pertukaran pemain yang tak strategik tak kala permainan berlangsung. Dan B Sathianathan dengan karisma yang tersendiri dan kerap melakukan ‘kejutan’ pada perlawanan yang penting dan sentiasa ‘rise to the occasion’ di saat para penyokong mengharapkan keajaiban di atas padang. Pengganti Sathia iaitu Dato M Karathu sebenarnya bukan asing bagi Kelantan dan diharap beliau dapat menggunakan peluang ini untuk menonjolkan dirinya semua setelah agak ‘kelam’ dalam beberapa tahun ini. M Karathu sebelum ini telah membimbing Negri Sembilan FA, Kelantan FA, Malaysia Youth Academy, Woodlands Wellington FC dan Sri Lanka .
Analisa pemain kedua-dua pasukan menunjukkan keseimbangan bagi kedua-dua pasukan. Kelantan agak mantap di posisi penjaga gol dan bahagian tengah dan Selangor mempunyai kelebihan di bahagian pertahanan dan juga Penyerang. Walaupun Mat Yo sememangnya penyerang terbaik Malaysia ketika ini, sumbangan ‘partner’ yang boleh mengheret atau mengucar-ngacirkan ‘last man’ Selangor masih lagi agak kabur. Kelantan agak beruntung juga kerana Khairol Anuar Baharom digantung untuk perlawanan Sabtu ini dan sepatutnya Ramzul atau mana-mana pemain yang akan digandingkan dengan Mat Yo haruslah mengambil peluang yang ada untuk menghukum Selangor pada saat kita memerlukan. Serangan Selangor yang diketuai oleh Safee Sali juga tak kurang hebatnya. Beliau yang dibantu oleh empat serangkai iaitu Amri Yahyah, Amirul Hadi, Fadzli Shaari dan Kapten Malaysia Safiq, menjanjikan perkhabaran yang patut dirunsing oleh pertahanan Red Warriors.
Barisan tengah Kelantan sebenarnya hebat dan menjadi nadi semenjak 2-3 musim lepas. Walaupun mereka kerap dilagukan sebagai ‘unsung hero’, tetapi taruhan di atas padang sepatutnya lebih terarah kepada mereka. Dalam posisi defensive midfielder, Shakir Shaari memang terbaik dalam kelasnya. Jika dibanding dengan Amar Rohidan dalam pasukan Malaysia, Shakir memang tiada gantinya dalam pasukan Kelantan dan beliau berada dalam kelas yang tersendiri. Kepada yang pernah menonton di stadium, takkala Jurulatih mengeluarkan Shakir dari permainan, akan terdengarlah ‘Arrggghhh’ dari kerusi penonton yang agak bimbang dengan ruang yang mungkin akan ada di barisan ‘back four’ pasukan Red Warrior akibat Shakir digantikan pemain lain.
Dalam Piya we trust ; itulah harapan seluruh rakyat Kelantan kepada Kapten Kelantan musim ini. Piya sepatutnya bersyukur yang beliau akan mempunyai banyak peluang menjaringkan gol pada musim ini kerana beliau akan mengambil semua sepakan percuma pasukan Kelantan. Dibayangi Indra musim lepas yang banyak mensia-siakan sepakan percuma, tahun ini merupakan cabaran sebenar pemain ini yang seharusnya menggunakan pengalamannya yang banyak berkelana di pasukan lain bagi mengemudi Kelantan meraih lebih banyak piala tahun ini.
Awe dan K Soley merupakan perlengkap kepada impian pengurusan yang mahukan permaian yang pantas dari Kelantan musim ini. Chanturu telah memperlihatkan kebolehan yang ada dan sepatutnya tahun ini, S Chanturu ini merebut tempat di posisi wing kanan secara tetap dan seterusnya mengembangkan kerjayanya dalam pasukan Malaysia. Perlawanan sabtu ini seharusnya menampilkan persembahan yang laju dari barisan Midfielder dengan tambahan pemain yang baru di bawa masuk ini. Sekiranya ianya menjadi kenyataan dan dibantu oleh penyudah yang ‘membunuh’ barisan penyerang, realiti untuk melihat Red Giant tersungkur di laman sendiri seharusnya menjadi kenyataan.
Pertahanan masih menampakkan sedikit kegoyahan Kelantan musim ini. Jikalau diukur persiapan awal musim, Kelantan bolos 14 gol. Satu jumlah yang besar dan secara puratanya bolos lebih daripada satu gol dalam setiap perlawanan. Walaupun di atas kertas, Daudsu, Farisham, Ropi, Rizal, Wan Rohaimin dan Subra boleh membentuk jalinan pertahanan yang mantap dan sepatutnya senang-senang mengekang barisan penyerang kebangsaan sekalipun, ianya tidak menjadi sebegitu. Entah apa yang menyebabkan ini berlaku. Namun dengan M Karathu yang membimbing, diharap percaturannya akan menjadi dan seperti yang dibuat oleh mana-mana jurulatih terbaik lain, meletakkan 2 orang pemain defensive midfielder dengan formasi 4-5-1 harus menjadi taruhan Kelantan sabtu ini.
Posisi penjaga gol akan menjadi taruhan sabtu ini sekiranya perlawanan ini berlanjutan ke sepakan penalti. Namun begitu, Selangor yang masih lagi teragak-agak menentukan siapakan penjaga gawang utama mereka tahun ini dan ianya akan menjadi tekanan kepada penjaga gol yang dipilih. Mungkin sabtu ini Saiful Amar akan dipilih dan bekas penjaga gol PKNS masih kurang berpengalaman dan sepatutnya boleh diambil peluang pemain Kelantan. Manakala digawang Kelantan, Apek akan mengemudi dan walaupun telah menunjukkan persembahan yang sangat cemerlang dalam Piala AFF baru-baru, ia bukan suatu jaminan dan ianya memerlukan persefahaman yang kukuh di atas padang bersama pemain-pemain lain. Walaupun secara dasar, ketenangan Apek memang banyak dicemburui oleh Selangor, banyak lagi harus diperbaiki terutamanya ‘positioning’ dan ‘timing’ untuk menumbuk bola dari kawasan merbahaya.
FAKTOR PENENTU
Perlawanan sabtu ini akan menentukan banyak perkara. Antaranya perjalanan liga untuk pasukan juara dan naib juara liga super tahun lepas. Tahun 2011 ini menjadi lebih sengit kerana terdapat 5-7 pasukan lain yang mampu untuk mencabar kejuaraan utama. Kedah, Felda, Negeri Sembilan, T Team, Johor FC dan Pahang mampu menyekat Selangor, Kelantan dan Terengganu dan tidak juga mustahil Perak akan bangkit tahun ini.
Faktor penonton yang biasanya juga akan memberikan kelebihan kepada pasukan yang bertanding tidak akan menjadi hak mutlak tuan rumah hujung minggu ini. Ini kerana dijangkakan Selangor tidak akan mempunyai kelebihan yang nyata di Stadium Shah Alam kerana barisan Red Warriors akan di sokong oleh penonton Tentera Merah yang semestinya akan mengundang gerun pada pemain dan penonton pada hari tersebut. Cuma diharap, penyokong Kelantan tidak bertindak diluar kawalan dan janganlah berputus asa dengan cepat walaupun kita ketinggalan kerana kita telah membuktikan di final Piala Malaysia tahun lepas, defisit gol awal tidak menoktahkan perjuangan pemain di atas padang.
Secara keseluruhan ukurannya, teknikal pemain dan taktik percaturan jurulatih tidak akan memberikan kelebihan yang nyata kepada Selangor mahupun Kelantan untuk menjulang Piala Sultan Hj Ahmad Shah tahun ini.Semuanya hampir sama. Analisa pemain juga tidak terlalu memberi jurang yang nyata kepada mana-mana pasukan. Semuanya layak untuk sanjungan.
WALAUPUN BEGITU, SAYA MEMANG PERCAYA barisan Red Warriors yang semenjak 2-3 minggu lalu tak kering dihimpit kontroversi harus mengambil peluang yang ada dan membuktikan kita layak untuk berada dipuncak pada tahun ini. Para pemain harus mengambil peluang hujung minggu ini bagi membuktikan kepada FAM, yang kita anak Kelantan sememang ‘bako oghe berani’ dan setiap tindakan atau cubaan yang dilakukan tidak akan mematahkan semangat kita. Anggaplah perlawanan sabtu ini menjadi taruhan terbaik untuk menutup terus mulut FAM kerana kita selayaknya berada di atas. Setiap pemain harus bersatu dan penyokong pula janganlah membisu apabila skuad kita bertungkus lumus di atas padang.
Usaha yang hebat dicampur dengan dedikasi yang tinggi serta perkenan dari-Nya sudah tentu akan membuahkan hasil. Jangan leka dan dan jangan mengalah,InsyaAllah Piala pertama musim ini akan dibawa pulang ke Kota Bharu Ahad nanti.
GOMO KELATE GOMO
Tiada ulasan:
Catat Ulasan