KAFA Rayu Main Sebelah Malam
KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat mempertimbangkan permohonannya untuk mengadakan perlawanan bola sepak Liga Malaysia musim ini pada sebelah malam.
Dalam pemeriksaan awal oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM pada 20 Disember lalu, Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu tersenarai antara beberapa gelanggang pertandingan yang tidak mendapatkan kelulusan awal untuk digunakan dalam perlawanan Liga Malaysia musim ini setelah tahap pencahayaannya tidak mencapai tahap minima 800 lux seperti yang ditetapkan.
Sementara pemeriksaan kedua pula difahamkan dilakukan pada semalam dan hasil keputusannya dibawa ke mesyuarat JPKT yang akan bersidang pada 10 Januari ini sebelum keputusan akhir akan dibuat selepas itu.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya memberi jaminan lampu limpah distadium tersebut akan dibaikpulih dengan segera bagi membolehkan pasukan Kelantan dapat beraksi pada sebelah malam pada musim ini.
“Kita menerima hakikat bahawa tahap pencahayaan lampu di stadium kita tidak menepati piawaian seperti yang dikehendaki. Untuk itu, melalui pihak Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) yang menguruskan stadium itu akan mengambil tindakan segera memperbaiki lampu limpah itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis memperkenalkan pasukan The Red Wariors 2011 dan pelancaran Jersi Serta Kad Keahlian pasukan TRW di Kota Bharu semalam.
“Kita berharap dengan tempoh masa yang ada selama tiga minggu ini, saya boleh beri jaminan bahawa kita mampu menyelesaikan masalah tersebut bagi membolehkan Kelantan beraksi pada sebelah malam.
“Sebab itu saya difahamkan stadium itu sudah ditutup daripada digunakan sepanjang sebulan ini bagi membolehkan kerja-kerja membaikpulih termasuk membaiki padang dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Annuar turut mengulas mengenai perkembangan terkini mengenai hasrat pihak Kafa untuk memajak Stadium Sultan Muhammed IV bagi tempoh 30 tahun daripada pihak kerajaan negeri.
“Kita sudah mengemukakan cadangan kita sebelum ini kepada pihak perbadanan stadium namun mereka telah memberi maklum balas mengatakan ada beberapa beberapa perkara yang kita kemukakan tidak begitu lengkap.
“Saya telah mengarahkan Naib Presiden Kafa, Datuk Ismail Mohd Noor untuk memperhalusi semula kertas cadangan tersebut bagi membolehkan kita mengemukakan sekali lagi permohonan itu kepada pihak kerajaan negeri.
Menurut Annuar, dalam mesyuarat terbaru Ahli Majlis Kafa semalam, pihaknya turut senada dengan kerajaan negeri untuk menaiktaraf stadium itu dengan cara membaikpulih berbanding daripada merobohkannya untuk membina stadium baru yang sudah pasti memakan masa yang begitu lama untuk disiapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan