KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 31 Januari 2011

Awas kebangkitan Kelantan

KEJAYAAN merangkul dua kejuaraan, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih dalam tempoh kurang 90 hari terus menjadikan Kelantan yang dipimpin oleh Tan Sri Annuar Musa antara kuasa baru bola sepak Malaysia yang perlu disegani.

Kejayaan tersebut hadir selepas Kelantan menanti hampir 26 tahun untuk membawa piala tersebut ke bumi Cik Siti Wan Kembang.

Disebalik kejayaan itu, ada nada kebimbangan disuarakan oleh ketua jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu yang menyifatkan ia adalah satu permulaan selain perjalanan yang menanti anak-anak buahnya masih panjang dan beronak.

Menurutnya, kejayaan awal yang diperoleh sebaik tirai Liga Super musim 2011 di buka seharusnya dijadikan pencetus semangat untuk terus berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kecemerlangan Kelantan.

“Pemain yang bermotivasi sentiasa bersemangat untuk bermain dan memenangi perlawanan. Apabila anda cukup berkomunikasi di padang dan sentiasa bekerja keras, anda layak untuk menang dan kita membuktikannya semalam (kelmarin).

“Saya harap pemain tidak terlalu bergembira dengan kejayaan ini sehingga menjadikan mereka lalai kerana musim masih panjang dan saya tidak mahu kejayaan terhenti di sini kerana misi kita ialah mencari kejayaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, biarpun berjaya menumpaskan gergasi Lembah Klang itu, namun, beliau telah mengenalpasti beberapa kelemahan yang ada pada pasukannya dan berharap ia akan dapat diselesaikan sebelum turun melayan kunjungan Terengganu di Kota Bharu, esok.

Katanya, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan oleh para pemain terutama bahagian pertahanan yang mempamerkan disiplin yang cukup baik ketika mengekang asakan penggempur Selangor.

“Saya pesan kepada semua pemain sebelum ini, kita kena main seperti seorang juara. Juara mesti sentiasa bersemangat dan sentiasa mempamerkan lebih daripada apa yang ditunjukkan oleh pasukan lawan, tidak boleh terlalu merendah diri ketika beraksi.

“Saya mahu motivasi itu kekal dalam diri pemain, mereka kena sedar Kelantan adalah juara Piala Malaysia dan pemain yang ada dalam pasukan Kelantan mestilah mereka yang sentiasa hanya inginkan kejuaraan,” ujarnya.

Perlawanan merebut Piala Sumbangsih di Stadium Shah Alam malam kelmarin menyaksikan Kelantan dinobatkan sebagai juara baru dan buat pertama kalinya merangkul piala tersebut selepas menumpaskan Selangor dengan 2-0.

Gol Kelantan disumbangkan oleh Norshahrul Idlan Talaha pada minit kelapan menerusi sepakan penalti selepas pemain sayap, Nurul Azwan Roya dijatuhkan pertahanan Selangor, Razman Roslan dalam kotak penalti. Badri Radzi melengkapkan malam bergaya itu dengan gol kedua menerusi sepakan percuma.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular