KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 17 Januari 2011

Berpijak Dibumi Yang Nyata


Nicholas Chan (tengah) gigih menjalani latihan bersama skuad Kelantan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.

KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan mahu peminat bola sepak Kelantan berpijak dibumi yang nyata dan tidak terlalu mengharapkan keajaiban daripada pemain baru, Nicholas Chan yang pernah berkelana menimba pengalaman berlatih dengan beberapa kelab luar negara sebelum ini.

Sathianathan berkata, sebagai pemain yang baru melaporkan diri menjalani latihan bersama skuad Kelantan, Nicholas Chan perlu diberi sedikit masa bagi membolehkan dia dapat menyesuaikan diri dengan suasana dan persekitaran dalam skuad Kelantan.

“Dia baru sahaja menjalani latihan bersama kita petang kelmarin. Kita kena tahu dia baru berusia 19 tahun dan dia perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Memang dia cukup berbakat tapi kita janganlah samakan dia dengan pemain yang hebat seperti Lionel Messi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Dia pemain yang biasa tetapi mempunyai bakat untuk pergi lebih jauh pada masa akan datang. Saya harap dia dapat menyesuaikan diri dalam skuad. Daripada apa yang saya lihat semalam berdasarkan diposisi yang dia beraksi, dia menunjukkan satu bakat yang berbeza.

“Dia lain daripada yang lain termasuk daripada segi kawalan bola dan juga membuat hantaran. Saya berharap dia dapat menyesuaikan diri dengan skuad dalam masa yang singkat. Tapi kita jangan minta berlebih-lebihan daripada dia walaupun dia pernah bermain dekat luar sebelum ini kerana dia bukan Superman,” katanya.

Menurut Sathianathan, setiap pemain bola sepak perlu mengambil masa dan sebagai pemain yang masih muda, para peminat seharusnya memberi masa dan ruang kepada Nicholas Chan untuk membuktikan kemahirannya yang tersendiri.

“Lainlah kalau kita mengambil awang import yang purata umur 26 hingga 27 tahun sudah tentu kita mengharap mereka mempunyai keupayaan lebih hebat daripada pemain tempatan. Dia adalah pemain tempatan cuma kelebihannya dia ada pengalaman berlatih dengan Akademi West Ham dan Akademi Cardiff City.

“Itu hanya pengalaman berlatih jadi saya berharap dia akan meneruskan latihan dan saya akan pantau perkembangan dia dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini. Saya akan menguji dia sepertimana pemain lain. Dia bukan pemain istimewa dan semua pemain akan diberi peluang dan terpulang kepada dia untuk merebut peluang tersebut,” katanya.

Nicholas Chan merupakan pemain yang didaftarkan dalam skuad Piala Presiden Kelantan musim ini tetapi dinaiktaraf untuk menjalani latihan bersama-sama dengan skuad Liga Super Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular