Perlawanan Pra Musim Jelajah Utara
Kelantan Julang Piala Shahidan Kassim.
Setelah melalui enam perlawanan tanpa kemenangan, Kelantan akhirnya dapat menarik nafas lega apabila berjaya menewaskan Perlis 2-0 di Stadium Utama Negeri, Kangar dalam perlawanan merebut Piala Shahidan Kassim 2011.
Dua gol ciptaan Norshahrul Idlan Talaha dan S. Chanturu sudah cukup untuk membantu Sang Kijang menewaskan pasukan Singa Utara seterusnya menjulang Piala Shahidan Kassim buat kali kedua berturut-turut.
Bagi Perlis, kekalahan yang ditempa seharusnya membuka mata pihak pengurusan untuk lebih serius membina pasukan termantap sebelum sepak mula Liga Malaysia tidak lama lagi.
Dalam perlawanan sebentar tadi, Perlis menguasai babak pertama perlawanan dengan melakukan beberapa asakan bertali arus ke kubu kawalan Khairul Fahmi Che Mat tetapi kekentalan penjaga gol muda serta barisan pertahanan dapat mengelakkan gawang Kijang dari dibolosi.
Perlis hampir mendahului pada minit ke-34 apabila gerakan penyerang mereka berjaya menewaskan penjaga gol Kelantan namun Farisham Ismail bertindak pantas mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Tiga minit selepas itu, Norshahrul Idlan bijak menyempurnakan peluang untuk gol pertama mengembirakan kira-kira 100 penyokong Kelantan yang hadir.
Kelantan seharusnya menambah jaringan melalui Azwan Roya dan Norshahrul tetapi penjaga gol tuan rumah kental mempertahankan gawang untuk mengekalkan keputusan 1-0 pada separuh masa pertama.
Babak kedua, Kelantan memulakan perlawanan dengan serangan pertama melalui Azwan Roya tetapi sepakan deras pemain ini dalam kotak penalti hanya terkena jaring tepi.
Perlis turut mengasak melalui rangkaian Syed Mohd Abdul Ghafar dan Faiz Subri tetapi gerakan mereka mudah dipatahkan barisan pertahanan Kelantan.
Kelantan sebaliknya hampir menambah gol pada minit ke-63 apabila lambungan cantik S. Chanturu dari sebelah kanan ditanduk keluar Norshahrul menyelamatkan kubu Singa Utara dari bolos buat kali kedua.
Menambah sengat, B. Sathianathan mengeluarkan Azwan Roya dan memasukkan Nidzad Ayub dan pemain ini bertindak bijak mengucar kacirkan barisan pertahanan tuan rumah.
Perlis yang sekali sekala melakukan serangan turut berpeluang menjaringkan gol pertama tetapi kurang persefahaman pemain tengah dan penyerang membantutkan usaha mereka.
S. CHanturu akhirnya melengkapkan malam gemilang Sang Kijang dengan jaringan jarak dekat pada minit-minit akhir perlawanan untuk gol kedua Kelantan seterusnya membawa Kelantan muncul pemenang Piala Shahidan Kassim.
Empat kad kuning dilayangkan dengan Perlis dan Kelantan masing-masing menerima dua kad kuning.
Kesebelasan Utama Pasukan:
Ketua Jurulatih: Mustakeem Omar.
Perlis: Mohd Amirul Rosli, Muhamad Munawar Shavukath, Azmizi Azmi, Mohd Rozaidi Mohd Hazwan Zainun, Mohd Hafizuan, Mohd Sany Mat Isa, Hadi Syahmi Hamzah, Fadly Baharum, Syed Mohd Abdul Ghafar dan Faiz Subri
Ketua Jurulatih: B. Sathianathan.
Kelantan: Khairul Fahmi Che Mat. Rizal Fahmi Rosid, Farisham Ismail, Daudsu Jamaludin, Zairul Fitree Ishak, Azwan Roya, Daniel Fadly, Khairan Eroza, Badri Radzi (c), S. Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan