KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 19 Januari 2011

Kelate.Net Sambut Baik Baiki Stadium

Tempat duduk terbuka dibahagian papan keputusan turut dicat bagi memastikan stadium ini berwajah baru.

KOTA BHARU – Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) menyambut baik usaha yang giat dilakukan oleh semua pihak di negeri ini dalam memastikan Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu dapat digunakan untuk perlawanan bola sepak Liga Malaysia sepanjang musim ini.

Presidennya, Marhasyim Mat berkata, usaha yang giat dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kelantan melalui Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) dan juga Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk membaikpulih infrastruktur di stadium yang berusia 44 tahun itu wajar dipuji bagi memastikan pasukan Kelantan dapat beraksi pada sebelah malam pertandingan Liga Malaysia musim ini.

“Kita berharap kerja-kerja membaikpulih stadium itu termasuk menambah lampu limpah dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan bagi membolehkan peminat bola sepak Kelantan berpeluang menyaksikan perlawanan sulung menentang Terengganu di Kota Bharu pada 1 Februari ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Insya Allah sekiranya semuanya berjalan dengan lancar, segala masalah di stadium ini dapat diselesaikan dan kita berharap Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JPKT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan membuat pemeriksaan kali kedua pada 21 Januari ini dapat membuat pertimbangan sewajarnya untuk meluluskan satu-satunya stadium yang terbaik di negeri ini agar dapat digunakan pada sebelah malam dalam perlawanan Liga Malaysia nanti.

“Sudah pasti ianya berbeza sama sekali daripada segi sambutan penyokong Kelantan apabila perlawanan terpaksa dilangsungkan pada sebelah petang. Peminat mempunyai kekangan untuk datang ke stadium apabila dilangsungkan pada sebelah petang hari bekerja (perlawanan Liga Malaysia pada hari Selasa) memandangkan waktu sepak mula adalah jam 4.45 petang, ketika itu waktu pulang daripada kerja,” katanya.

Marhasyim berkata, peminat bola sepak dinegara ini sebenarnya sudah dibiasakan menyaksikan perlawanan pada sebelah malam dan agak merugikan daripada segi kutipan tiket kepada pihak Kafa sekiranya ianya terpaksa dilangsungkan sebelah petang.

“Seingat saya, sekitar tahun 2003 dulu pun kita pernah bermain sebelah petang gara-gara tahap pencahayaan lampu limpah yang tidak memenuhi kriteria namun nasib baik ianya berlangsung dalam waktu sementara sahaja. Jadi kita tidak mahu situasi tersebut berulang lagi pada tahun ini.

“Tetapi saya percaya dengan usaha yang giat dilakukan oleh Kerajaan Negeri, PSK dan Kafa sendiri yang mendapatkan bantuan peralatan mekanikal daripada kelab golf di negeri untuk membaiki padang, rasanya masalahnya pada tersebut akan selesai sedikit masa lagi. Begitu juga dengan pemasangan lampu limpah tambahan yang dikawal selia oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) juga dapat diselesaikan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Menurut Marhasyim, pihaknya turut berharap PSK selaku badan yang bertanggungjawab mengurus stadium itu dapat menghadkan penggunaan padang di stadium tersebut pada masa akan datang bagi mengelakkan kerosakan sepertimana yang berlaku sekarang ini tidak berulang lagi.

“Padang stadium harus dihadkan penggunaannya khusus melibatkan pertandingan-pertandingan besar seperti Liga Super atau Piala Presiden selain mana-mana bentuk program atau majlis yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri. Bukan bermaksud ianya tidak boleh disewa kepada pihak luar, sebenarnya boleh tetapi biarlah bersesuaian.

“Sebagai alternatif, Padang Perdana juga sesuai digunakan pada sebelah malam kerana turut mempunyai lampu limpah. Kekangan kita disini ialah kita tidak mempunyai banyak padang di Kelantan yang dilengkapi lampu limpah yang boleh digunakan pada sebelah malam. Hanya Stadium Sultan Muhammed IV dan Padang Perdana, Kota Bharu sahaja dua tempat yang boleh digunakan pada sebelah malam sekarang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular