Apa Sudah Jadi Red Warriors?
Kesebelasan Utama Kelantan melawan USM Pulau Pinang. |
Entah di mana silapnya, persiapan pra-musim skuad Kelantan tidak seperti yang diharapkan.
Rentetan kekalahan dicatatkan dalam perlawanan persahabatan yang diatur.
Tiada sebarang keputusan positif akan dapat diberikan dalam masa terdekat andai prestasi semasa dijadikan ukuran.
Perlawanan di Lembah Kelang, mereka tampil tidak melawan untuk tewas tiga perlawanan dan jelajah ke Utara juga mula menampakkan kelemahan pasukan Kijang setelah dua perlawanan yang dihadapi setakat ini berkeputusan tewas.
Hendak disalahkan kepada penghijrahan beramai-ramai pemain utama, rasanya tidak patut kerana pemain baru yang menyertai pasukan boleh dikatakan gah dan sudah mencipta nama di luar sana.
Kelantan kini masih menerima khidmat pemain terbaik Piala Malaysia, penyerang bernilai Malaysia, penjaga gol muda terbaik Malaysia malah dilatih bekas jurulatih Malaysia.
Apa yang diperlukan para pemain Sang Kijang sewaktu ini.
Sumber kewangan, gaji, elaun, suntikan moral dari pihak persatuan, sokongan Tentera Merah, semua itu sudah mereka terima termasuk bonus-bonus menandatangani kontrak dengan Red Warriors.
Kebajikan sudah terjaga tetapi mereka kekal longlai dari setiap perlawanan persahabatan.
Memang keputusan pra-musim bukan untuk menunjukkan keseluruhan permainan Kelantan pada musim ini tetapi sekurang-kurangnya mereka pasti sudah mempunyai barisan impian yang mampu membawa skuad ke mercu kejayaan.
Adakah dengan persembahan yang ditonjolkan dapat memberikan sesuatu kepada pasukan Kelantan.
Tidak mungkin jika pihak pengurusan dan pemain terus meneruskan aksi sebegini.
Jangan salahkan "Tiga Pemain Yang Berhijrah Ke T-Team" kerana tanpa mereka Kelantan tetap mampu melangkah gagah.
Jangan salahkan kerajaan negeri kerana peruntukan dan bonus seperti yang dijanjikan akan diberikan dalam masa terdekat.
Jangan juga salahkan perbadanan stadium kerana stadium keramat turut dalam proses baik pulih demi memenuhi tuntutan KAFA.
Jangan salahkan sumber kewangan kerana dikhabarkan banyak sudah penajaan dari syarikat korporat telah ditaburkan buat Red Warriors 2011.
Kini tugas Persatuan, pihak pengurusan dan pemain membalas jasa itu dengan memberi persembahan menyakinkan seterusnya menyediakan skuad mantap sebelum menempuh saingan Piala Sumbangsih di Shah Alam, dua minggu dari sekarang.
Hentikan alasan remeh temeh dan berikan tumpuan penuh pada perlawanan pembuka tirai nanti.
Sokongan penyokong bukan ketika menang, sokongan penyokong zaman berzaman namun biarlah setaraf dengan jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan demi pasukan Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan