Norshahrul Bikin Resah.
Kem Kelantan dalam keresahan setelah penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha dilaporkan mengalami kecederaan lutut.
Menurut sumber, penyerang skuad kebangsaan tersebut hampir pasti tidak dapat diturunkan dalam perlawanan Piala Sumbangsih kerana mengadu sakit pada bahagian lutut ekoran kecederaan lama sewaktu beraksi di Piala Asia.
Ketua jurulatih Kelantan, M. Karathu ketika diminta mengulas tentang perkara ini mengatakan bahawa dia masih berharap Norshahrul sempat pulih dari kecederaan untuk diturunkan menentang Selangor.
Bagi pengurus pasukan, Azman Ibrahim, kecederaan yang dialami penyerang utama tersebut menambah lagi derita Red Warriors selepas beberapa pemain utama lain turut dilanda masalah kecederaan panjang.
Sebelum ini, Khalid Jamlus, S. Subramaniam dan S. Chanturu turut mengalami kecederaan sewaktu menyertai perlawanan jelajah pra-musim.
Dengan kecederaan Norshahrul Idlan, Kelantan dijangka akan menggunakan dua pemain muda, Nidzad Ayub dan Ramzul Zahini untuk mengetuai jentera serangan Kelantan.
Tugas berat terpaksa dipikul dua pemain ini menggalas impian peminat untuk menyaksikan Piala Sumbangsih akan menjadi milik Kelantan buat kali pertama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan