Kelantan Dapat Isentif Kerajaan Negeri.
Pasukan Kelantan menerima khabar gembira apabila Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju untuk membayar imbuhan sejumlah RM200 000 sebelum perlawanan pertama Liga Super 2011.
Menurut laporan Bernama, Kerajaan Negeri dalam mesyuarat mingguan Exco melalui Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fatah Mahmood memutuskan untuk memberi wang tunai tersebut dalam satu majlis penghujung Januari ini.
Selain skuad negeri, pasukan Melayu Kelantan yang menjuarai Piala Emas Raja-Raja baru-baru ini turut menerima insentif berupa wang tunai RM100 000 ekoran kejayaan yang diraih.
Mengulas tentang Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Abdul Fatah turut menyatakan keyakinan pihak Perbadanan Stadium mampu membaik pulih kerosakan lampu dan padang.
Sebelum ini, pasukan Kelantan tidak dibenarkan beraksi pada waktu malam selepas pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia mengatakan stadium utama tersebut tidak memenuhi piawaian yang telah ditetapkan.
Sehubungan dengan itu, ramai pihak menggesa Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Stadium membaik pulih segala kerosakan tersebut seterusnya menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan bagi membolehkan pasukan Kijang beraksi pada waktu malam seperti biasa.
Sumber Berita: Bernama.
Foto: Zaman Huri Isa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan