Masih Banyak Kelemahan.
Dua gol melalui situasi bola mati memberikan kejayaan bersejarah buat The Red Warriors dalam saingan Piala Sumbangsih di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Ternyata kontroversi yang melanda pasukan sejak sebulan lalu dapat diharungi dengan berkesan oleh semua pemain Kelantan untuk mencatatkan kemenangan bergaya keatas juara bertahan, Selangor.
Namun, masih banyak kelemahan yang ditunjukkan anak didik M. Karathu terutamanya kegagalan hantaran bola dengan kemas serta kelekaan pemain tengah. Mujurlah pasukan lawan turut menghadapi masalah sama menyebabkan mereka kempunan untuk meraih kejuaraan secara hatrik.
Melihat aksi pemain Kijang, mereka bijak mengatur gerakan pada awal permainan hasil kesilapan pemain pertahanan tuan rumah yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya. Semuanya berpunca dari serangan secara pantas yang diatur melalui rangkaian Solehin, Azwan Roya, Badri, Shakir Shaari dan Norshahrul Idlan menyebabkan pemain benteng Selangor kelam kabut mempertahankan kawasan mereka.
Namun memasuki pertengahan babak pertama dan awal babak kedua, pemain Kelantan memperlahankan rentak selain gagal melakukan hantaran dengan baik dan seringkali dipintas pemain pasukan lawan.
Mujurlah kesilapan demi kesilapan pemain tengah Kijang dan rencana pemain berstatus kebangsaan Selangor berjaya disekat dengan baik pertahanan Kelantan.
Pemain benteng Kelantan wajar dipuji dalam perlawanan ini kerana berjaya mengekang gerakan demi gerakan yang diatur pasukan tuan rumah. Banyak perangkap offside berjaya dihasilkan selain banyak bentesan bersih, pintasan dan juga kawalan man to man keatas pemain Selangor.
Cuma yang menjadi masalah ketika ini ialah pemain Kelantan masih belum mampu merencana gerakan bahaya kearah pintu gol lawan. Berdasarkan perlawanan tadi, hanya tiga percubaan dapat dilepaskan melalui gerakan padang. Dua percubaan melalui Badri Radzi dan satu hasil gerakan solo Nurul Azwan Roya dari sebelah sayap.
Selebihnya, gerakan mereka banyak tersekat hasil hantaran tidak kemas. Mungkinkah perlawanan pertama menyebabkan pemain Kelantan belum bernafsu untuk merencana gerakan kearah pintu gol lawan.
M. Karathu mungkin perlu meneliti kembali video perlawanan untuk melihat sendiri beberapa kelemahan yang ditonjolkan pemain Kelantan dan diharapkan perlawanan 2 Februari ini melawan Terengganu di Kota Bharu dapat diharungi tanpa masalah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan