KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 16 Januari 2011

Fokus Saya Untuk Kelantan – Apex


KOTA BHARU – ‘Fokus saya kini untuk Kelantan’. Begitulah laungan penjaga gol utama skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali dengan panggilan Apex yang kini kembali ke pangkuan skuad Liga Super Kelantan.

Kelibat penjaga gol skuad kebangsaan yang hanya melepaskan tiga gol sepanjang Kejohanan Piala AFF Suzuki baru-baru ini sudah pun kelihatan apabila turun menjalani latihan di Kota Bharu sejak petang kelmarin setelah pulang daripada majlis rasmi bersama Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya dua hari lalu.

Khairul Fahmi berkata, walaupun hanya sempat menjalani latihan sebanyak tiga kali sejak kembali ke Kota Bharu pada 3 Januari lalu dan menyambung latihan pada hari ini namun beliau percaya tidak akan berdepan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri bersama-sama rakan sepasukan yang lain.

“Tumpuan utama saya kini bersama Kelantan. Rasanya tidak ada apa-apa masalah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan kerana rata-rata pemain musim ini adalah pemain yang sama cuma hanya terdapat beberapa muka baru bersama Kelantan musim ini. Itu bukan masalah besar bagi saya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Daripada segi persaingan itu sudah pasti tetap berlaku tetapi saya percaya ianya merupakan satu persaingan yang sihat dalam mana-mana pasukan. Kita ada tiga lagi penjaga gol iaitu Halim Napi, Mohd Shahrizan Ismail dan Norhadi Ubaidillah. Masing-masing mempunyai keupayaan yang tersendiri dan kami tidak ada masalah bekerjasama diantara satu sama lain.

“Soal siapa yang dipilih menjadi penjaga gawang utama itu terpulang kepada jurulatih yang tentukan. Bagi saya, apa yang penting setiap antara kami berpeluang membuktikan keupayaan masing-masing dalam sesi latihan. Selebihnya siapa yang dipilih hanya akan ditentukan oleh jurulatih,” katanya.

Menurut Khairul Fahmi, beliau berharap empat perlawanan persahabatan yang akan ditempuhi oleh skuad Kelantan di utara tanah air bermula malam esok dengan bertemu Kedah memberi peluang kepada beliau untuk membuktikan sentuhan cemerlangnya ketika bersama skuad kebangsaan mampu diteruskan bersama Kelantan.

“Perlawanan persahabatan ini begitu penting bagi saya dalam mencari keserasian. Tambahan pula ini merupakan perlawanan persahabatan pertama yang akan saya lalui sekiranya diberi peluang turun beraksi.

“Kalau ditanya sama ada yakin atau tidak, saya masih belum mempunyai keyakinan dapat diturunkan dalam kesebelasan utama ketika ini. Saingan hebat sudah pasti daripada penjaga gol berpengalaman iaitu Halim Napi dan Mohd Shahrizan Ismail. Tetapi yang lebih penting, saya harus memberi tumpuan penuh ketika menjalani latihan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular