KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 28 Januari 2011

Selangor Mahu Pertahan, Kelantan Cari Kejuaraan.

Seperti perlawanan musim sebelumnya, kehangatan pasti akan menjelma di arena Kota Bharu ataupun Shah Alam bilamana dua pasukan yang mendatangkan fenomena kepada sukan bola sepak negara bertembung.

Kelantan dan Selangor, dua pasukan yang mempunyai tarikan tersendiri termasuk mampu menghimpunkan puluhan ribu penyokong dalam setiap perlawanan sekali lagi dipertemukan dalam satu perlawanan pembukaan Liga Malaysia merebut penghormatan pertama menjulang Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Mengikut venue perlawanan terdahulu, Kelantan sebenarnya lebih layak bermain selaku tuan rumah setelah muncul juara Piala Malaysia tetapi pada tahun ini Shah Alam dipilih pengurusan tertinggi FAM, mungkin untuk menampung kehadiran penyokong kedua-dua pasukan selain mendapat lebih keuntungan hasil dari kutipan tiket.

Dari perlawanan ini, bukan sahaja Piala menjadi rebutan malah tiga mata pertama turut menjadi taruhan buat kedua-dua pasukan melakar langkah pertama memburu kejuaraan liga tertinggi dalam negara, Liga Super 2011.

Mengikut statistik perlawanan dari tahun 1991 sehingga 2010, antara dua buah pasukan pasti ada satu pasukan akan mengungguli pertemuan setiap tahun dan jarang sekali kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol dalam setiap perlawanan yang dihadapi. Namun dari rekod dua tahun terakhir, prestasi kedua-dua pasukan tampak seimbang.

Berdasarkan rekod pertemuan musim lalu, Kelantan dilihat mempunyai kelebihan besar untuk memulakan musim baru dengan nota kemenangan setelah menewaskan lawan dalam Piala Malaysia selain mengikat lawan dua kali dalam saingan Liga Super tetapi mampukah skuad bimbingan gabungan dua nama besar dua era kejurulatihan negara, M. Karathu dan B. Sathianathan mencorakkan taktikal ampuh untuk mengecewakan pasukan lawan di arena mereka sendiri.

Selangor pasti tidak berdiam diri untuk turut melakar sejarah gemilang mempertahankan piala buat kali ketiga berturut-turut dan K. Devan, pengendali serba boleh menyatakan dengan keyakinan tinggi barisan pemain mereka sudah bersedia untuk mengejar piala pertama pada tahun baru.

Persediaan Kelantan pada pra musim tidak seperti yang diharapkan kerana terpalit dengan banyak kontroversi besar selain sikap pihak KAFA dan Kerajaan Negeri tidak sekata dalam satu dua perkara yang berbangkit. Bermula dengan isu geran, kes panas KWSP, penghijrahan beramai-ramai pemain utama, stadium tidak dapat digunakan kerana rosak teruk, komen tidak puas hati bekas pemain tonggak selain isu panas antara pihak pengurusan KAFA dan FAM menyebabkan dua perlawanan jelajah utara dan Lembah Kelang berakhir kecewa. Mujurlah dua perlawanan terakhir termasuk mempertahankan piala komuniti Shahidan Kassim tempoh hari diharap menjadi penyuntik semangat berkesan kepada semua pemain untuk cuba mencatatkan kejuaraan pertama selepas 27 tahun.

Bagi Selangor, persediaan mereka dalam pra musim menunjukkan bahawa mereka benar-benar serius untuk mencapai target awal mengungguli semua piala yang dipertandingkan. Sebelum bertolak ke Australia, mereka melakukan persiapan terawal dengan mengumumkan nama-nama pemain selain melakukan empat perlawanan persahabatan awal dengan pasukan tempatan ketika pasukan lain masih lagi belum memulakan sebarang langkah membina pasukan. Selepas itu, persiapan mereka diteruskan dengan mengadakan perlawanan persahabatan di Australia dengan melawan pasukan utama Kanggaru, Gergasi Merah menunjukkan persembahan baik termasuk menewaskan sebuah pasukan kelab disana dan mencatatkan satu keputusan seri.

Melihat pada kesebelasan pemain kedua-dua pasukan setakat ini kelebihan sebenarnya berpihak kepada Selangor kerana dibarisi lima nama yang beraksi di Piala Suzuki AFF iaitu Safee Salee, Amri Yah-Yah, Asrarudin Putra, Amirul Hadi serta Safq Rahim berbanding Sang Kijang hanya diwakili Norshahrul Idlan Talaha, Khairul Fahmi Che Mat dan S. Chanturu (digugurkan dalam Piala AFF kerana cedera).

Kedua-dua pasukan turut merekrut beberapa pemain baru untuk saingan musim ini dimana Selangor menambah kekuatan dengan mengikat bekas ketua pasukan Kuala Lumpur, Azidan Sarudin, bekas penyerang kebangsaan, Fadzli Shaari serta penjaga gol PKNS, Saiful Amar Sudar.

Mereka turut diperkuatkan dengan kehadiran bekas pertahanan Pahang, Yosri Dermaraju, K. Depan Sakwati dan S. Sritharan dari Melaka bagi mengantikan enam pemain yang digugurkan pengurusan Selangor.

Skuad The Red Warriors yang menggunakan 90 peratus anak tempatan dalam pasukan pula menampung penghijrahan pemain musim lalu dengan kehadiran Nurul Azwan Roya, Solehin Kanasian Abdullah, Wan Rohaimi, Aziz Ismail, Danial Fadly serta dua kejutan iaitu Nicholas Chan dari Cardif dan Khalid Jamlus, bekas penyerang utama Sang Kijang 2009.

Melihat pada situasi semasa, tidak mudah buat Kelantan untuk mengharung gelora Merah Kuning tambahan pula beraksi di tempat lawan tetapi selagi 90 minit belum dihadapi, pantang keturunan Tok Janggut menyerah kalah rebah sebelum berjuang.

Semestinya Selangor bertekad menjadi pasukan pertama menjulang piala Sumbangsih secara berturut-turut sebanyak tiga kali manakala Kelantan pula mencari satu lagi piala selepas memenangi kejuaraan Piala Malaysia.

Kesebelasan Bayangan Kelantan

Berdasarkan perlawanan menentang Perlis dan Pulau Pinang pada perlawanan terakhir pra-musim, Kelantan dilihat sudah menemui kesebelasan impian untuk menggalas tugas utama menyekat Selangor merangkul kejuaraan disamping memungut tiga mata pertama.

Tetapi pemain yang digunakan itu adalah ketika era kejurulatihan B. Sathianathan dan dengan kehadiran M. Karathu mungkin beliau akan melakukan satu atau dua perubahan ke dalam skuad. Kita harapkan Sathianathan mengotakan janjinya untuk membantu Karathu dari segi nasihat dan cadangan pemain mana boleh dimasukkan untuk menggalas kesebelasan utama pasukan.

Di posisi penjaga gol, sudah pasti nama Khairul Fahmi tidak keciciran dalam kesebelasan utama setelah aksi pemain muda ini meningkat mendadak sejak dilatih tanpa penat lelah jurulatih penjaga gol, Ismail Chaiwalit. Halim Napi diletakkan di bangku simpanan selepas seorang lagi penjaga gol, Mohd Shahrizan Ismail mengalami kecederaan memaksa dia diketepikan buat seketika.

Empat tonggak pertahanan pula pasti menerima tekanan besar jika rekod musim lalu menjadi ukuruan kepada mereka. Catitan bolos paling sedikit 2010 sepanjang 90 tahun pembabitan Kelantan dalam kancah Liga Malaysia pasti menjadi igauan ngeri kepada barisan pertahanan. Dijangkakan Daudsu, Rizal Fahmi dan Zairul Fitree akan bermula dalam kesebelasan pertama manakala satu tempat lagi menjadi rebutan antara Farisham, Wan Rohaimi dan S. Subramaniam. Tugas mereka dalam perlawanan dengan Selangor sangat berat kerana perlu membantu Khairul Fahmi mengawal kubu dari kelincahan Safee Sali, Safiq Rahim dan Amirul Hadi.

Jentera tengah tiada masalah buat M. Karathu untuk membariskan pemain terbaik ketika menentang Selangor esok. Mohd Badri Radzi kekal di posisi permulaan selaku ketua pasukan, Azwan Roya dan Solehin Kanasian bermain di bahagian sayap manakala satu tempat lagi di bahagian tengah mungkin diisi Shakir Shaari atau Danial Fadly. Khairan Eroza, Wan Zaman dan Zulyusri turut berpeluang namun kemunculan di tempat pertama mungkin tidak menjadi kenyataan dalam perlawanan ini.


Menjadi masalah bagi kem Kelantan sewatu ini ialah pemain mana boleh diharapkan untuk bergandingan dengan Norshahrul Idlan di jentera serangan. Pilihan pemain terlalu ramai namun kekurangan pengalaman menjadi faktor utama mengapa Kelantan masih belum mampu mencari pemain sesuai membantu Norshahrul. Masih kehilangan Khalid kerana kecederaan bahagian lutut, hanya S. Chanturu menunjukkan persembahan serasi dengan Norshahrul dalam perlawanan pra-musim manakala pemain selebihnya seperti Nidzad Ayub dan Ramzul Zahini masih belum mampu untuk mengatur gerak dengan penyerang kebangsaan itu. Walau bagaimanapun, tiada pilihan untuk ketua jurulatih setakat ini selain menyenaraikan pemain yang ada dan berharap mereka dapat mencari gol untuk memusnahkan pasukan lawan.

Kesebelasan Bayangan Selangor


Berdasarkan pemerhatian hasil perlawanan persahabatan Selangor sebelum ini, keyakinan yang dilontarkan K.Devan bukan satu omongan kosong tanpa fakta sebenar. Selangor ketika ini dilihat gagah kerana khidmat pemain utama mereka dapat digunakan sepenuhnya tanpa sebarang masalah kecuali tidak dapat menggunakan Khairul Annuar Baharom yang digantung satu perlawanan ekoran tindakan liar, tahun lalu.


Menjadi persoalan peminat Selangor dan semua pemerhati sukan Malaysia ketika ini ialah siapa bakal berada di posisi nombor satu mengawal gawang bekas juara 32 kali Piala Malaysia tersebut. Menurut pemerhatian, kelebihan tampak milik Saiful Amar Sudar kerana dia dikatakan mempamerkan persembahan baik ketika beraksi di Australia manakala Iqbal Suhaimi mungkin menggalas tempat penjaga gol kedua di belakang Saiful.


Bahagian benteng dijangkakan diisi Razman Roslan, Yosri Dermaraju, Asrarudin Putra serta P. Gunalan. Manakala pemain simpanan lain hanya mampu berharap akan dimasukkan andai pemain utama ini ditimpa musibah sebelum dan semasa perlawanan.


Jentera tengah Selangor boleh dikatakan sangat mantap dan sukar digugat kerana menghimpunkan nama-nama besar. Dibarisi Amri Yah Yah, Hardi Jaafar, Amirul Hadi Zainal dan Safiq Rahim, empat nama ini sudah berkemampuan untuk mencipta peluang selain menjaringkan gol ketika pasukan memerlukan sesuatu. Semua pemain ini diberi harapan tinggi untuk merencana gerakan kearah gawang Kelantan seterusnya memerangkap Kelantan disudut sukar. Selain mereka, Azidan Sarudin, Fitri Shazwan, Bunyamin Omar juga turut mengintai ruang untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan ataupun dimasukkan selaku pemain gantian.

Posisi serangan tidak membimbangkan pengurusan Selangor selepas Safee Sali sendiri mengakui bahawa dia sedang mencari keserasian bersama fadzli Shaari untuk mengempur pintu gol pasukan Kijang. Dua pemain ini bakal menampilkan persembahan bertenaga dengan Safee pasti berharap momentum jaringan gol bermula dalam Piala AFF akan dapat diteruskan ketika melawan Kelantan. Jika salah seorang dari mereka berdua mengalami kecederaan, tugas serangan pasti terarah kepada pemain simpanan iaitu Rudie Ramli dan pemain yang baru diangkat kedalam skuad utama, S.Sritharan atau K. Depan Sakwati.

Formasi

Selangor
Saiful Amar
Yosri---Razman---Asrarudin---Gunalan
Amirul Hadi--Hardi--Safiq
--Amri--
Fadzli--Safee Sali

Mln

Sharul--Chanturu
Azwan--Badri--Shakir--Soley
Zairul--Subra--Rizal--Daudsu
Khairul Fahmi
Kelantan


Taktikal


Dijangkakan M. Karathu akan meneruskan legasi B. Sathianathan dengan menggunakan formasi 4-4-2 manakala K.Devan juga tidak akan mengambil risiko dengan memperkenalkan formasi lain ketika berdepan Kelantan.


Taktikal bagaimana bakal dicorakkan dua pengendali berbangsa India dalam perlawanan penting ini. Adakah akan ada kejutan lain atau mereka akan memberikan tunjuk ajar terbaik buat anak didik mereka terjemahkan kedalam padang.

Penyokong


Masih terngiang pergaduhan dan kata nista dari kedua-dua belah pihak dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2010 di Shah Alam sehinggakan berlakunya beberapa kecederaan dan kematian terhadap penyokong kedua-dua pasukan. Rentetan dari insiden itu, jangkaan perlawanan ini dijangka terus panas dengan beberapa lagi aksi pergaduhan dan serangan ganas para penyokong.


Diingatkan kepada kedua-dua penyokong yang hadir agar menjaga tingkah laku dan tidak bertindak ganas sehingga merugikan pihak lain. Memang peristiwa lalu bakal menghangatkan suasana perlawanan tetapi diharapkan insiden yang mencatat sejarah pertama di Shah Alam tahun lalu tidak diulangi lagi pada kali ini.


Semua penyokong diminta memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan sokongan masing-masing dan tidak bertindak di luar batas kemanusiaan.


Penyokong yang datang memberi sokongan, Bukan datang membawa hukuman.


Ramalan RedsFC-News

Selangor 1-2 Kelantan

Tinggalkan ramalan keputusan perlawanan anda di ruangan komen Post Preview RedsFC-News dibawah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular