KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 6 Mei 2011


Kelantan mln Kedah





Mahu atau tidak, Kelantan harus menggunakan peluang keemasan beraksi di kandang sendiri untuk menundukkan Kedah dalam perlawanan ke-18 saingan Liga Super 2011.

Sepanjang tiga tahun kebangkitan Kelantan dalam arena bola sepak negara, Kedah satu-satunya pasukan yang dilihat sukar untuk ditundukkan.

Malah, skuad bergelar Kenari ini juga menjadi satu-satunya pasukan yang dapat mencalarkan rekod Kelantan ketika beraksi di gelanggang keramat mereka di Kota Bharu dalam kancah Liga paling utama tanahair tersebut pada tahun 2010.

Justeru itu, pertemuan ini mengimbau kembali igauan setahun lepas dimana Kelantan tunduk 0-1 hasil jaringan pemain yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang dan adakah sejarah itu bakal berulang kembali.

Setakat ini, Sang Kenari dilihat mula menampilkan aksi terbaik bila beraksi di gelanggang lawan termasuk mengejutkan Perak di Ipoh dikala The Red Warriors hampa setelah hanya mampu pulang dengan empat jaringan bolos.

Kehadiran Wan Jamak memperkuatkan lagi pasukan yang sudah sedia terbaik dengan himpunan barisan bintang yang masih beraksi dan sudah tidak dipanggil kedalam skuad negara.

Bagi Kelantan, pertemuan yang ditempah dengan pasukan yang pernah bergelar Juara "Double Treble" Liga Super tidak wajar dilepaskan tanpa sebarang mata.

Kemenangan harus diperoleh walaupun sukar untuk menembusi gawang lawan sejak dua tahun kebelakangan ini namun dengan semangat pahlawan Tok Janggut, 90 minit malam nanti bakal menjadi detik memori terindah kepada kesebelasan pemain membuktikan bahawa mereka layak bergelar jagoan liga domestik.

Formasi dan Taktikal

Kelantan

Melihat pada sesi latihan terakhir Sang Kijang, corak formasi dilihat tidak berubah seperti perlawanan di tempat sendiri sebelum ini dimana taktik kesukaan penyokong Kelantan iaitu 4-4-2 bakal digunakan untuk memerangkap barisan Kedah. Datuk M. Karathu tidak mempunyai banyak pilihan dalam pemilihan formasi bila beraksi di kandang sendiri namun mempunyai satu ruang cukup luas untuk menerapkan permainan laju tidak seperti di Johor FC yang kelihatan sangat membosankan. Target 3 mata harus dicapai dan melihat pada penekanan yang dilakukan ketua jurulatih Kelantan itu dalam sesi latihan, diharap pemain Kelantan menggunakan seluruh kelebihan dan penguasaan bola untuk mencari jaringan.

Kedah

Wan Jamak, jurulatih yang tidak asing di kalangan penyokong setia Kelantan selepas berjaya mengemudi skuad bimbingan sebelum ini menumpaskan The Red Warriors dalam saingan Piala pada 2010 di Kota Bharu. Malah, jurulatih yang berasal dari Johor Bharu ini juga pernah menyatakan kemenangan mampu diraih di gelanggang Sang Kijang andai mereka dapat bermain dengan emosi para penyokong. Justeru itu, kita harapkan tiada corak negatif ditunjukkan Kedah andai permainan laju dan penuh dengan aksi hendak ditonjolkan. Dijangka Wan Jamak tidak melakukan perubahan drastik dengan skuad ciptaan Radhi Mat Din selepas pengunduran Ahmad Yusof. Taktikal 4-5-1 mungkin digunakan oleh Wan Jamak dengan harapan kehebatan pemain tengah diharapkan mampu untuk melakukan serangan kearah kubu Sang Kijang.

Barisan Jangkaan Pemain

Kelantan



The Red Warriors akan mengekalkan Khairul Fahmi Che Mat di posisi permulaan selepas penjaga gol ini kembali memberi aksi konsisten dalam beberapa perlawanan terakhir saingan Liga. Tidak dibolosi dalam empat perlawanan terakhir memberikan gambaran awal bahawa dia pasti akan terus memberi aksi 100% untuk mengelakkan dari bocor kepada pasukan Kedah.



Barisan pertahanan tidak pening untuk Datuk M. Karathu memilih kesebelasan utama. Kelibat Farisham dan Daudsu pasti terus digunakan, S. Subramaniam menerima saingan sengit dari Rizal Fahmi untuk satu lagi kekosongan posisi tengah namun dijangka Subra akan bermain dalam kesebelasan utama. Zairul Fitree turut terjamin tempat di bahagian pertahanan kiri namun Karathu mempunyai pilihan untuk memasukkan Aziz Ismail. Wan Rohaimi tersenarai dalam senarai 18 pemain namun kemungkinan terus berada di bangku simpanan sehingga tamat perlawanan.



Posisi tengah pula diwakili Nurul Azwan Roya dan S. Chanturu dengan Shakir masih dalam senarai pilihan Karathu untuk diturunkan. Satu posisi lagi dijangka akan menurunkan Danial Fadly selepas Badri Radzi dinaikkan selaku pemain penyerang. Jika ada perubahan taktikal dengan mengukuhkan jaringan tengah, Danial dan Badri mungkin digandingkan di posisi tengah bersama dengan Shakir kerana mereka bertiga diharapkan mampu merencana gerakan membantu penyerang merobek gawang pelawat. Satu tempat lagi bakal menjadi milik S. Chanturu selepas Solehin Kanasian mungkin diletakkan di senarai simpanan selepas baru pulih dari masalah kecederaan. Khairan Ezuan turut diletakkan selaku pilihan simpanan.



Penyerang kemungkinan besar Norshahrul Idlan akan bergandingan dengan Badri Radzi selepas dua pemain ini menjadi penyumbang terbesar kepada jaringan Kelantan. Jika Karathu memilih menurunkan Badri di bahagian tengah, Norshahrul akan bertindak selaku penyerang tunggal dan perubahan taktikal pada babak kedua pula mungkin meletakkan Khalid Jamlus dan Nidzad Ayub selaku penganti sesuai. Ramzul belum pasti diturunkan namun Karathu mempunyai satu pilihan meletakkan penyerang muda ini dalam kesebelasan utama andai inginkan satu kepelbagaian serangan untuk memecahkan kubu pasukan Kedah.

Kedah



Pasukan pelawat mungkin akan menurunkan Helmi Eliza selaku penjaga gol utama selepas pemain ini turut menjadi antara penyumbang kepada kejayaan Sang Kenari sejak permulaan pusingan kedua Liga Super. Al-Hafiz diletakkan selaku penjaga gol kedua dibelakang Helmi untuk perlawanan ini.



Pemain pertahanan Kedah mengharapkan kekebalan V. Thirumugan dan ketua pasukan mereka, Fauzi Nan untuk mengawal barisan terakhir mereka. Shafizan Hashim dijangka turut diturunkan untuk menonjolkan kekerasan menahan asakan tuan rumah manakala satu tempat lagi kemungkinan diisi Azmi Muslim. Pemain muda, Shahril Faizal mungkin dimasukkan juga di posisi Azmi andai Wan Jamak mahu mengekalkan rentak pertahanan ketika diikat Sabah manakala Fazliata Taib dan Sabree Abu belum pasti dapat diturunkan Wan Jamak.



Jentera tengah bakal diketuai Badrol Bakhtiar yang sudah menyempurnakan lima gol setakat ini bersama dengan Amar Rohidan. Dua pemain ini menampilkan aksi cemerlang namun kadangkala gagal mengekalkan konsistensi jika menerima kekangan dari pertahanan lawan. Ahmad Fauzi Shaari dan Khairul Helmi Johari turut mungkin dikekalkan dimana Fiqry Isa mungkin masuk selaku pemain simpanan dan Firdaus Fauzi turut kemungkinan diletakkan didalam senarai pemain dengan target diberikan peranan selaku pemain tengah menyerang.



Penyerang pula mempertaruhkan Shakir Ali dan Faizal Abu Bakar. Walaupun dua pemain ini masih gagal menjadi antara pengempur berbisa, mereka tidak dinafikan antara gandingan yang mampu mengucar kacirkan barisan pertahanan lawan. Azlan Ismail masih belum pasti diletakkan dalam senarai pemain simpanan walaupun sudah pulih dari masalah kecederaan yang membelenggu. Wan Ahmad Asyraf terus disenaraikan dan mungkin masuk selaku pemain gantian dalam perlawanan ini.

Rekod Perlawanan

2009:
  • 04 Apr : Liga Super - Kedah 1-2 Kelantan
Ked: Badrol (m-37) Kel: Farhan (m-61) Khalid Jamlus (m-65)
  • 21 Jul : Liga Super - Kelantan 0-1 Kedah
Ked: Wan Zaim (m-49)
  • 29 Sept : Piala Malaysia - Kelantan 1-0 Kedah
Kel: Indra Putra Mahayudin (m-49)

  • 10 Okt : Piala Malaysia - Kedah 1-0 Kelantan
Ked: Sabree Abu (m-45)

2010:
  • 19 Jan : Liga Super - Kelantan 0-1 Kedah
Ked: Azlan Ismail (m-41)
  • 16 Feb : Piala FA - Kedah 0-0 Kelantan (1st leg)
  • 20 Feb : Piala FA - Kelantan 1-1 Kedah (2nd leg)
Kel: Indra Putra Mahayudin (m-71) Ked: Badrol Bakhtiar (m-74)
  • 25 Mei : Liga Super - Kedah 0-0 Kelantan
  • 20 Okt : Piala Malaysia - Kedah 0-0 Kelantan
  • 23 Okt : Piala Malaysia - Kelantan 1-0 Kedah
Kel: Norshahrul Idlan Talaha (m-78)

2011:
  • 25 Feb : Liga Super - Kedah 1-1 Kelantan
Ked: Azlan Ismail (m-56) Kel: Norshahrul Idlan Talaha (m-79)

Ramalan Keputusan Perlawanan kelatebola
Kelantan 2-1 Kedah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular