KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Selasa, 20 April 2010

KAFA rayu Kelantan mansuh caj cukai hiburan

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyifatkan tindakan kerajaan negeri mengenakan cukai hiburan ke atas penjualan tiket perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhamed IV di sini sebagai keterlaluan.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa menggesa kerajaan negeri supaya menarik balik segera arahan Pejabat Perbendaharaan Negeri itu demi pembangunan sukan bola sepak di negeri itu.

"Cukai hiburan itu sangat membebankan KAFA... sudahlah kerajaan negeri tidak memberi bantuan kewangan kepada skuad Liga Super negeri tetapi pula dikenakan pelbagai cukai," katanya kepada pemberita selepas majlis pemberian bonus sebanyak RM1,000 kepada setiap pemain skuad Kelantan di sini, semalam.

Annuar berkata, sebelum ini KAFA membelanjakan tidak kurang RM40,000 untuk bayaran cukai perkhidmatan, cukai tiket dan penggunaan stadium untuk perlawanan Liga Super.

Surat bertarikh 13 April lalu yang ditandatangani Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, memaklumkan mengenai caj cukai hiburan ke atas tiket perlawanan yang dijual di stadium berkenaan.

Annuar berkata, arahan itu akan memaksa KAFA menaikkan harga tiket yang sudan pasti akan membebankan peminat memandangkan ketika ini harga tiket berbumbung adalah RM25 manakala RM12 bagi tempat duduk terbuka.

Katanya, pihaknya akan menghantar surat rayuan kepada kerajaan negeri esok (hari ini) bagi meminta pengecualian cukai.

Menurutnya, KAFA terpaksa memperuntukan kira-kira RM300,000 setiap bulan menguruskan pasukan termasuk kos menjadi tuan rumah bagi dua atau tiga perlawanan di stadium berkenaan.

Beliau meminta kerajaan negeri mencontohi kerajaan Kedah yang memberikan bantuan kewangan RM250,000 setiap bulan kepada Persatuan Bola Sepak Kedah dengan tidak dikenakan bayaran menggunakan stadium pada setiap perlawanan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fatah Mahmood berkata, kerajaan negeri akan mengambil kira pandangan KAFA berdasarkan surat rayuan mengenai caj cukai hiburan itu.

"Kita sedaya upaya mahu menolong KAFA mengikut keupayaan yang ada pada kerajaan negeri demi pembangunan sukan di negeri ini," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular