KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 21 Julai 2012


QPR belasah Kelantan

Pemain Kelantan, Mohd. Ghaddar (tengah) diasak dua pemain Queens Park Rangers dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

SHAH ALAM - Kelab yang dimiliki oleh pemilik AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, Queens Park Rangers (QPR) tidak berdepan masalah besar menundukkan Kelantan 5-0 dalam aksi perlawanan yang disifatkan cukup membosankan dan hambar.

Di hadapan 30,000 penonton yang sebahagian besarnya penyokong setia The Red Warriors, Kelantan jelas gagal menyaingi kekuatan lawan yang kini dibintangi ramai tonggak baru seperti Robert Green, Andrew Johnson, Fabio da Silva dan Samba Diakite.

Gol-gol QPR dijaringkan oleh Shaun-Wright Phillips pada separuh masa pertama sebelum Michael Harriman, Jamie Mackie, Bobby Zamora dan Heidar Helguson menambah empat lagi gol di babak kedua.
Biarpun begitu, Kelantan memberikan amaran awal kepada QPR apabila Keita Manjou yang melepaskan peluang keemasan setelah sekadar menanduk tinggi hantaran silang yang menuju di hadapan pintu gol QPR.
Kelab dari Loftus Road itu tidak menunggu terlalu lama untuk membuka jaringan apabila pada minit ke-18, bekas pemain Chelsea dan Manchester City, Wright-Phillips yang tidak dikawal dalam kotak penalti menewaskan Shahrizan Ismail.

Gol itu tidak mematahkan semangat anak-anak buah Bojan Hodak yang cuba bangkit mencari gol penyamaan dan gerakan menarik Norshahrul Idlan Talaha tiga minit kemudian nyaris membuahkan hasil tetapi rembatan leretnya dari jarak 20 meter dapat ditepis bekas penjaga gol England, Robert Green
Perlawanan bagaimanapun sedikit hambar untuk baki 20 minit terakhir babak pertama dengan QPR lebih banyak berkampung di kawasan sendiri tatkala Kelantan kelihatan kekurangan idea memecahkan benteng lawan yang dikawal oleh Anton Ferdinand dan Clint Hill.
Walaupun Kelantan membawa masuk dua pemain import, Mohammed Ghaddar dan Danny Antwi, ia tidak banyak memberikan sebarang perbezaan ketika QPR semakin mudah mencari ruang merobek pintu gol Red Warriors.

QPR mengukuhkan kedudukan 3-0 pada minit ke-72 dengan Mackie yang menerima hantaran Max Ehmer dari sebelah kanan mudah menolak masuk ketika hanya berhadapan dengan Shahrizan.
Skuad bimbingan Mark Hughes itu terus berpesta gol hasil hantaran Helguson yang menemui Zamora sebelum penyerang berpengalaman itu menambah gol keempat QPR pada minit ke-81.
Helguson menambah satu lagi gol pada masa kecederaan setelah melakukan gerakan satu dan dua dengan Ehmer bagi mengesahkan kemenangan besar QPR 5-0 ke atas Kelantan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular