KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 7 Mac 2012

Prebiu Piala AFC : Kelantan FA Melawan Navibank Saigon FC.


Kelantan turun perlawanan pertama Piala AFC menentang Navibank Saigon FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.


Biarpun terpaksa beraksi di venue berkecuali kerana sedikit masalah teknikal di Kota Bharu, Sang Kijang perlu mencatatkan kutipan mata andai mahu melangkah lebih jauh pada saingan yang disertai buat kali pertama.

Navibank Saigon yang juga kali pertama beraksi di pentas Asia bukanlah satu lawan yang mudah seperti pasukan di negara sendiri dan dengan sebab itu The Red Warriors wajar menggunakan peluang yang dimiliki beraksi di depan penyokong sendiri untuk menjinakkan pasukan lawan.

Berdasarkan pemerhatian semasa, Kelantan berada di landasan tepat untuk mencatatkan kemenangan kerana prestasi sedikit memberangsangkan berbanding lawan yang masih terkial-kial mencari corak permainan sebenar.

Namun, dijangka saingan yang diberikan lawan akan sengit kerana ketua jurulatih mereka dengan yakin menyatakan Navibank Saigon ada banyak maklumat untuk menidakkan kejayaan Kelantan merebut mata pertama mereka di pentas AFC.

Formasi dan Taktikal

Bojan Hodak bakal mengemudi Kelantan turun perlawanan ini dengan skuad tempang kerana kehilangan ramai pemain tonggak akibat masalah kecederaan semasa. Selain itu, beliau juga kemungkinan besar bakal mengalami sedikit masalah komunikasi dengan para pemain ekoran baru dilantik untuk melatih pasukan. Namun, diharapkan Bojan dapat menerapkan corak taktikal terbaik bagi mengekang pasukan lawan dari merobek kubu The Red Warriors. Dijangka tiada perubahan ketara dapat dilakukan Bojan selain mengekalkan formasi Butler untuk perlawanan ini dimana 4-4-2 merupakan satu taktikal terbaik yang dimiliki berdasarkan senarai pemain yang ada.

Bagi Navibank Saigon, kehadiran ke Kuala Lumpur bukan untuk bersenang lenang menyebabkan ketua jurulatih mereka, Pam Chong Loc mencabar anak buahnya untuk mengutip mata penuh. Biarpun menyedari anak buahnya masih tempang kerana prestasi kurang memberangsangkan dalam saingan Liga Vietnam, Pam tetap yakin Navibank dapat menjinakkan Sang Kijang di gelanggang mereka. Pada perlawanan malam nanti, formasi 4-4-2 akan cuba dicerapkan Pam kepada skuad utama beliau seterusnya cuba melakukan serangan melalui "counter attack" manakala turun pantas bertahan bila diserang pasukan lawan.

Barisan Kemungkinan

Kelantan


Seperti biasa, posisi penjaga gol Kelantan terus diisi Khairul Fahmi Che Mat manakala penjaga gol simpanan diberikan kepada Shahrizan Ismail.

Jentera pertahanan akan ada tiga perubahan selepas pemain "regular" sebelum ini, S. Subramaniam, Aziz Ismail dan Daudsu Jamaludin diberi rehat akibat kecederaan dan kemalangan jalan raya. Justeru itu, tiada pilihan lain bagi Hodak selain memasukkan Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak dan Zamri Ramli bagi mengantikan mereka untuk digandingkan dengan Obinna Nwaneri yang dilihat cerah mengekalkan tempat di bahagian "center". Nik Shahrul Azim dan Rizal Fahmi pula bakal diletakkan dalam senarai pemain di bangku simpanan.

Bahagian tengah, Badri Radzi bukan sahaja menggalas tugas ketua pasukan malahan menggalas juga amanat penyokong dan barisan kejurulatihan pasukan untuk mengatur serangan ke arah kubu pasukan pelawat. Disamping Badri kemungkinan tiada perubahan ketara dengan skuad tiga mata keatas Negeri Sembilan dimana Shakir dan Norfarhan mungkin dikekalkan dalam kesebelasan utama. Nurul Azwan masuk di permulaan selepas Indra disahkan tidak dapat beraksi kerana cedera. S. Chanturu yang menjadi wira baru-baru ini mungkin tidak diletakkan dalam kesebelasan pertama. Seorang pemain President Warriors dijangka akan berada di bangku simpanan bagi melengkapkan senarai.

Kembalinya Mohamad Ghadaar sedikit melegakan buat pasukan Kelantan. Dia kemungkinan besar akan bersama Antwi di jentera serangan kerana Norshahrul turut tersisih akibat tidak cergas. Ramzul menggalas tugas simpanan bersama dengan Nwoha Onyekachi.

Navibank Saigon FC


Menurut maklumat dari rakan admin dari blog MugoNopak, barisan kesebelasan utama Navibank kemungkinan besar adalah pemain utama pasukan kerana mereka bebas dari masalah kecederaan pemain. Bagi posisi penjaga gol, Nguyen The Anh bakal menggalas tempat utama tersebut.

Jentera pertahanan tengah Navibank pula akan dikemudi oleh pertahanan antarabangsa Togo, Vincent Bossou bersama dengan Nguyen Thanh Long Diang. Posisi kanan dijangka milik Dangh Khang Lam manakala sebelah kanan pula diberikan kepada Doan Viet Cuong.

Jentera tengah pula Navibank bakal mempertaruhkan sentuhan pemain import berpengalaman luas di peringkat antarabangsa, Ricardinho untuk menjadi "playmaker" bersama ketua pasukan mereka, Phan Van Tai Em. Dua lagi tempat mungkin menjadi milik Luong Van Duoc Em serta Nguyen Van Kai.

Posisi serangan tidak asing lagi dimana penyerang dari Columbia, Edison Fonseca bakal digandingkan sekali lagi dengan Nguyen Quang Hai untuk merobek gawang pasukan Kelantan biarpun pada beberapa perlawanan yang dilalui di Liga, mereka gagal memberikan impak berkesan untuk mencatatkan kemenangan.

Khairul Fahmi Che Mat
Zamri -- Farisham -- Obinna -- Zairul
Farhan -- Badri (Kp) -- Shakir -- Nurul Azwan
Ghaddar -- Antwi

mln

Fonseca -- Hai Nguyen
Ricardinho -- Van Kai -- Em Phan (Kp) -- Luong Van
Viet Cuong -- Bossou -- Giang Nguyen -- Lam Dang
Anh Nguyen

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular