Ulasan Ringkas : Dramatik di Alor Setar.
Kelantan melangkah ke pentas Final
Piala FA 2012 apabila mengikat Kedah 2-2 untuk mara dengan peraturan
gol di tempat lawan, malam tadi.
Beraksi di Stadium Darul Aman
yang dipenuhi hampir 40000 penyokong, Kelantan bermula garang apabila
mencipta banyak peluang jaringan namun gagal disempurnakan barisan
penyerang yang diketuai Mohamad Ghaddar dan Norshahrul Idlan Talaha.
Kedah yang sekali sekala
melancarkan serangan bagaimanapun berhasil menjaringkan gol melalui
sentuhan Khairil Muhaymeen pada minit ke-30 selepas menerima hantaran
lintang Badrol Bakhtiar.
Tersentak dengan jaringan
pertama tuan rumah, The Red Warriors cuba bangkit dengan beberapa
percubaan ke arah pintu gol Kedah namun Helmi Eliza bertindak cemerlang
menafikan setiap cubaan.
Kealpaan barisan pertahanan
Kelantan mengundang padah pada minit ke-42 selepas Khairil Muhaymeen
sekali lagi melakar jaringan kedua peribadi untuk Kedah selesa
menamatkan separuh masa pertama dengan dua jaringan.
Bersambung babak kedua, pemain
Sang Kijang bagaikan mendapat tonik semangat di bilik persalinan
apabila terus melancarkan serangan pantas ke arah kubu Kedah.
Usaha berterusan mereka
akhirnya membuahkan hasil selepas pemain pertahanan, Obinna Nwaneri
melonjak tinggi menanduk masuk ke gawang Kedah hasil sepakan penjuru
Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-46.
Jaringan pertama menyemarakkan
semangat pemain Kelantan untuk terus melakukan serangan dan pada minit
ke-59, Mohamad Ghaddar bijak menyempurnakan kesilapan pertahanan tuan
rumah untuk jaringan kedua seterusnya mengembirakan hampir 4000
penyokong setia Sang Kijang.
Dua jaringan menambahkan lagi
semangat The Red Warriors tetapi setiap percubaan yang dilakukan
berjaya dinafikan oleh kekebalan penjaga gol Kenari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan