Final Piala FA 2012 - Edisi Road To Final TRW.
Kelantan membuktikan status cemerlang
mereka dalam saingan Liga Malaysia 2012 apabila sekali lagi menepati
ramalan untuk mara ke pentas akhir Piala FA.
Siapa menyangka dengan
permasalahan yang timbul dari pihak pengurusan dan barisan
kejurulatihan pada awal saingan piala, The Red Warriors tetap garang
sehingga mara ke penentuan terakhir.
Pemergian Butler dari kem Sang Kijang pada awalnya menimbulkan reaksi berbeza ramai pihak terutamanya penyokong setia Kelantan.
Namun, penganti beliau, Bojan
Hodak pantas memberi satu suntikan baru apabila mengangkat kembali
Kelantan ke kedudukan selesa dengan taktikal mantap seterusnya
mengenepikan lawan dan setiap pencabar pada setiap pusingan.
Pusingan Pertama
Kelantan 2-1 Sarawak
Perlawanan pusingan pertama
tidak menunjukkan kekuatan sebenar Kelantan kerana terpaksa menunggu
sehingga jaringan minit terakhir daripada Norfarhan Mohamad untuk
mencatatkan kemenangan keatas pasukan dari Borneo tersebut. Pada
perlawanan itu, Kelantan beraksi hambar dan ketinggalan seawal minit
ke-20 apabila Azizan Baba menggunakan kesilapan pemain The Red Warriors
untuk jaringan pertama. Namun Indra muncul penyelamat selepas meledak
jaringan penyamaan pada minit ke-33 sebelum Norfarhan Mohamad tenang
melakukan rembatan dari jarak dekat pada masa tambahan babak kedua
untuk memisahkan kedua-dua pasukan.
Pusingan Kedua
Kelantan 3-2 Kuala Lumpur.
Pada hakikatnya, Kelantan
dilihat pasukan pilihan untuk mara ke suku akhir selepas diatur bertemu
Kuala Lumpur pada pusingan kedua. Namun jangkaan itu meleset sama
sekali setelah anak buah Razip Ismail mengenepikan rasa gemuruh beraksi
di gelanggang keramat Kota Bharu untuk memberi saingan sehingga wisel
penamat kepada Sang Kijang. Kelantan bermula garang dengan jaringan
pertama Norfarhan pada minit ke-29 tetapi mudah disamakan skuad Ibu
Kota pada minit ke-39 melalui Mohamad Afiq Azmi. Bagaimanapun Kelantan
pantas mencari idea untuk mengejutkan Kuala Lumpur dengan jaringan
kedua pada minit ke-43 hasil sentuhan Indra Putra Mahayuddin.
Bersambung babak kedua, Kelantan semakin garang apabila Badri Radzi
menyempurnakan jaringan ketiga pada minit ke-70 namun Kuala Lumpur
tidak mengalah dan berhasil merapatkan kedudukan sekali lagi pada minit
ke-90 hasil penyudah tajam Fazuan Abdullah menerusi sepakan percuma.
Suku Akhir Pertama
KL SPA 0-3 Kelantan
Beraksi secara timbal balik,
Kelantan bertemu lawan mudah setelah KL SPA bijak menyingkirkan kelab
Kemboja pada pusingan kedua. Digelar "Giant Killer", tiada tekanan
kepada SPA untuk mencari sesutatu pada pertemuan dengan Sang Kijang.
Namun mereka akhirnya gemuruh jua dengan sorakan para penyokong untuk
kecundang besar 0-3 kepada Kelantan. Pada pertemuan tersebut, KL SPA
yang dibarisi kebanyakan pemain amatur bijak bertahan sehinggalah Badri
Radzi muncul melakukan penyudah pada saat terakhir babak pertama.
Norfarhan terus melakukan konsistensi jaringan pada Piala FA apabila
jaringan kedua berjaya dilakukan pada minit ke-56. Dia terus mengganas
setelah menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-81 untuk
memberikan The Red Warriors bekalan selesa untuk aksi timbal balik.
Suku Akhir Kedua
Kelantan 2-0 KL SPA
Beraksi di tempat sendiri
dengan kelebihan tiga jaringan, Kelantan turun aksi bersahaja namun
garang buat KL SPA. Satu jaringan setiap babak yang dilakukan oleh
Norfarhan Mohamad serta Nwoha Onyekachi memberikan kejayaan besar
kepada The Red Warriors menempah tiket separuh akhir.
Separuh Akhir Pertama
Kelantan 1-1 Kedah
Turun aksi separuh akhir,
Kelantan dalam dilema apabila cakap luar sudah mengatakan mereka bakal
tewas bagi memberi laluan Piala dibawa pulang ke negeri Jelapang Padi.
Sangkaan itu semakin deras bertiup apabila pemain Kelantan beraksi
tidak seperti yang diharapkan oleh penyokong mereka. Biarpun mendahului
seawal minit ke-16 hasil penyudah kencang Norshahrul Idlan Talaha,
mereka akhirnya terpaksa akur dengan keputusan seri 1-1 selepas pemain
import terbaru Kedah, Vedran Gerc bijak melarikan bola dari empat
pemain pertahanan Kelantan sebelum melepaskan satu sepakan kencang
menewaskan Khairul Fahmi pada minit ke-30.
Separuh Akhir Kedua
Kedah 2-2 Kelantan
Hadir selaku pasukan pelawat,
beraksi didepan puluhan ribu penyokong tuan rumah, Kelantan tertekan
dengan asakan menggila dari pasukan Kedah. Mereka akhirnya terpaksa
menelan hakikat Kedah lebih baik pada babak pertama apabila dua
jaringan yang dilakukan oleh Khyril Muhaimeen pada pertengahan babak
memberikan kelebihan besar kepada Sang Kenari. Bagaimanapun, pemain
Kelantan yang diberikan kata dua oleh Bojan Hodak pada sesi rehat
akhirnya bangkit pada babak kedua bermula dengan jaringan pertama
Obinna Nwaneri pada minit ke-46. Jaringan tersebut sememangnya
menyemarakkan kembali semangat pemain dan tanpa disangka, kesilapan
yang dilakukan barisan pertahanan Kedah membuka peluang kepada Ghaddar
untuk menolak masuk jaringan kedua seterusnya kekal dengan keputusan
itu untuk The Red Warriors mara ke pentas akhir Piala FA 2012 hasil
peraturan jaringan di tempat lawan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan