Laporan Ringkas : Singa Hilang Taring.
Kelantan bangkit pada babak kedua
untuk menewaskan Lions XII 3-0 dalam saingan Liga Super di Stadium
Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.
Turun dengan misi mendapatkan
tiga mata, Kelantan bermula garang apabila dikurniakan sepakan penalti
seawal minit ke-4 setelah Norfarhan Mohamad dikasari didalam kawasan
Lions.
Bagaimanapun, Norshahrul Idlan
Talaha melepaskan peluang melakar jaringan pertama apabila sekadar
menyepak lemah kearah penjaga gol Sang Singa, Hyrulnizam Jumaat.
Khairul Fahmi jelas menjadi
duri dalam daging kepada barisan pelawat apabila percubaan bahaya yang
dilakukan dari jarak dekat pada minit ke-26 berjaya ditepis keluar.
Selang tidak beberapa lama
kemudian, penjaga gol nombor satu Kelantan dan kebangsaan itu sekali
lagi menampilkan aksi "super save" menggagalkan cubaan yang dilakukan
penyerang Lions.
Pada babak kedua, Sang Kijang merubah corak permainan dengan memasukkan Rizal Fahmi dan Indra Putra Mahayuddin.
Kemasukan dua pemain ini jelas
membantu apabila bermula dari gerakan Norshahrul Idlan Talaha, hantaran
lintang penyerang Sang Kijang tersebut pantas disudahkan dengan aksi
akrobatik S. Chanturu untuk jaringan pertama pada minit ke-73.
Kelantan terus selesa didepan
pada minit ke-77 selepas gerakan cantik bermula dari Indra Putra
membenarkan Badri Radzi melakukan satu lorongan menarik untuk
disudahkan dengan rembatan lencong Norfarhan Mohamad.
Rizal Fahmi melengkapkan malam
gemilang The Red Warriors apabila rembatan kencang dari luar kotak
penalti terus menerjah jaring, menggamamkan Hyrulnizam Jumaat buat kali
ketiga pada minit ke-85.
Lions XII sebenarnya mampu
mendapatkan jaringan sagu hati pada saat akhir melalui tandukan Haris
Harun namun Khairul Fahmi sempat melayangkan badan menepis keluar untuk
kedudukan kekal tiga jaringan tanpa balas sehingga ke wisel penamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan