Misi Memburu Mata Penuh | ||
Kepenatan pemain Kelantan yang sentiasa melalui jadual perlawanan yang padat dan akan bertandang di stadium Pasir Gudang pasti digunakan sebaik mungkin skuad sang Lebah ini meskipun mereka harus waspada dengan kebijaksanaan taktikal Bojan Hodak mengatur anak buahnya.
Kehebatan Kelantan bagai tersentap dengan isu membaling objek dan mercun ke padang semasa saingan Piala AFC lalu. Isu ini masih lagi hangat diperkatakan di laman media sosial dan media-media tempatan. Sikap yang sukar dibendung ini mungkin akan terus menjadi duri dalam daging atau anai-anai yang akan merosakkan keteguhan binaan bolasepak Kelantan yang dibangunkan presiden KAFA dan kepimpinan KAFA serta seluruh peminat yang ikhlas melihat kemajuan bolasepak Kelantan.
Isu-isu ini menjadikan perlawanan menentang Johor FC bagai hambar memikirkan masa depan KAFA yang bakal didenda melebihi RM50,000 sepertimana dimaklumkan Tan Sri Annuar Musa. Keluhan Tan Sri Annuar Musa sungguh terkesan dihati peminat setia The Red Warriors kerana beliau merupakan aset dan penyumbang utama kepada kemajuan bolasepak Kelantan melalui tenaga dan pelaburan AL Hamra.
Kemenangan pada malam ini tidak bermakna jika tiada usaha daripada seluruh penyokong Kelantan untuk mengubah sikap buruk ini. Ibarat minum teh tanpa gula apabila setiap kali kejayaan Kelantan disurami dengan berita buruk yang dilakukan penyokong sendiri yang buat-buat bodoh dan bebal demi menunjukkan kejantanan yang tidak bertempat ini.
GOMO KELATE GOMO.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan