Bojan Hodak
HODAK dilaporkan bakal meninggalkan Kelantan penghujung musim ini.
SEANDAINYA Kelantan sekali lagi dinobatkan sebagai juara Piala Malaysia 2013, ia masih belum mampu untuk mengubati kekecewaan peminat-peminat fanatik pasukan Pantai Timur itu.
Ini kerana mereka bakal kehilangan jurulatih berwibawa, Bojan Hodak.
Jurulatih kelahiran Croatia itu berjaya memimpin Kelantan dengan pencapaian yang sungguh membanggakan sehingga bergelar juara trebel musim lalu.
Begitupun, Hodak yang dilantik sebagai pengendali skuad Kelantan pada Mac 2012 lalu, dilihat lebih berminat untuk memberikan perhatian kepada aksi final berbanding memikirkan hala tuju kariernya selepas ini.
“Benar, ini adalah tugas terakhir saya untuk Kelantan tetapi saya lebih berminat untuk memberikan perhatian kepada aksi final Piala Malaysia.
“Peluang buat kedua-dua pasukan adalah seimbang. Buat pasukan saya sendiri, skuad Kelantan berada di dalam keadaan terbaik.
“Sudah tentu kami mahu memenangi Piala Malaysia. Pendapat saya, tiada sebarang perbezaan aksi final ini dengan mana-mana perlawanan lain.
“Namun, kami turun tanpa kelibat Obinna (Nwaneri). Kedua-dua pasukan memiliki kelebihan sama yang mana pemain-pemain ini mempunyai pengalaman beraksi di perlawanan besar seperti final Piala Malaysia.
“Jika Obinna beraksi, saya berani mengatakan bahawa peluang kami iaitu sebanyak 51-49 peratus untuk menjulang Piala Malaysia sekali lagi,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pengurus-pengurus pasukan yang bertanding pada final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam.
Dalam perkembangan sama, Hodak juga tidak mahu terjerat dengan permainan psikologi Pahang pada final itu nanti