• Awas mainan psikologi: DaudsuDaudsu (kanan) hanya mampu mendoakan kejayaan Kelantan, Ahad ini.
 1 / 1 
PEMAIN pertahanan Kelantan, Mohd Daudsu Jamaluddin mengingatkan rakan sepasukannya supaya tidak terbawa-bawa dengan ramalan bahawa pasukan itu mampu mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu.

Daudsu yang terlepas aksi final menentang Pahang Ahad ini berkata, di atas kertas kelebihan memang berpihak kepada Kelantan namun realitinya tidak boleh dijadikan ukuran kerana dalam tempoh 90 minit apa sahaja boleh berlaku.

"Atas kertas kita boleh cakap apa sahaja tapi yang menentukan segalanya adalah aksi di atas padang. Bagi saya, mereka yang menganggap Kelantan sebagai pilihan sebenarnya lebih kepada perang psikologi.

"Tapi saya tidak nafikan Kelantan mempunyai kelebihan berbanding Pahang, cuma saya tidak mahu kita terlalu yakin sehingga lalai.

"Saya juga tidak mahu menganggap Kelantan sudah juara kerana kita masih belum juara dan Ahad ini yang akan menentukan segalanya.

"Jadi, saya harap pemain Kelantan berhati-hati dan sentiasa fokus. Jangan mudah mendabik dada walaupun dilabel pasukan pilihan," katanya.

Daudsu yang diketepikan ekoran mengalami kecederaan lutut tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya gagal membantu pasukan hujung minggu ini.

"Sedih memang sedih lebih-lebih lagi ini perlawanan akhir. Apa pun, saya berdoa supaya rakan-rakan dapat memberikan yang terbaik sekali gus mengekalkan kejuaraan ini," ujarnya yang akan menyertai Johor Darul Takzim (JDT) musim depan.

Dalam pada itu, ketika ditanya ketiadaan pemain pertahanan, Obinna Nwaneri yang akan memberi masalah yang cukup besar kepada The Red Warriors, Daudsu yakin Bojan Hodak mempunyai ramuan bagi menentukan pemain terbaik menggantikan pemain terbabit.

"Walaupun tiada Nwaneri tetapi Kelantan masih ada pemain lain terutama Nik Shahrul Azim Ab Halim dan Mohd Farisham Ismail.

"Secara keseluruhannya saya percaya pasukan Kelantan lebih bagus dan berpengalaman daripada Pahang," katanya lagi.

Nwaneri terlepas perlawanan akhir kali ini selepas dilayangkan kad kuning pada perlawanan separuh akhir menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jumaat lalu oleh pengadil Nafeez Abdul Wahab selepas didakwa mengasari penyerang ATM, Marlon Alex James kira-kira dua minit sebelum perlawanan tamat.

Kad kuning berkenaan merupakan yang kedua diperolehinya dalam kejohanan itu selepas kad kuning pertama ketika saingan suku akhir menentang JDT di Kota Bharu pada 4 Oktober lalu.