KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 2 Mei 2012

Ulasan Ringkas : Dramatik di Alor Setar.


Kelantan melangkah ke pentas Final Piala FA 2012 apabila mengikat Kedah 2-2 untuk mara dengan peraturan gol di tempat lawan, malam tadi.


Beraksi di Stadium Darul Aman yang dipenuhi hampir 40000 penyokong, Kelantan bermula garang apabila mencipta banyak peluang jaringan namun gagal disempurnakan barisan penyerang yang diketuai Mohamad Ghaddar dan Norshahrul Idlan Talaha.

Kedah yang sekali sekala melancarkan serangan bagaimanapun berhasil menjaringkan gol melalui sentuhan Khairil Muhaymeen pada minit ke-30 selepas menerima hantaran lintang Badrol Bakhtiar.

Tersentak dengan jaringan pertama tuan rumah, The Red Warriors cuba bangkit dengan beberapa percubaan ke arah pintu gol Kedah namun Helmi Eliza bertindak cemerlang menafikan setiap cubaan.

Kealpaan barisan pertahanan Kelantan mengundang padah pada minit ke-42 selepas Khairil Muhaymeen sekali lagi melakar jaringan kedua peribadi untuk Kedah selesa menamatkan separuh masa pertama dengan dua jaringan.


Bersambung babak kedua, pemain Sang Kijang bagaikan mendapat tonik semangat di bilik persalinan apabila terus melancarkan serangan pantas ke arah kubu Kedah.

Usaha berterusan mereka akhirnya membuahkan hasil selepas pemain pertahanan, Obinna Nwaneri melonjak tinggi menanduk masuk ke gawang Kedah hasil sepakan penjuru Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-46.

Jaringan pertama menyemarakkan semangat pemain Kelantan untuk terus melakukan serangan dan pada minit ke-59, Mohamad Ghaddar bijak menyempurnakan kesilapan pertahanan tuan rumah untuk jaringan kedua seterusnya mengembirakan hampir 4000 penyokong setia Sang Kijang.

Dua jaringan menambahkan lagi semangat The Red Warriors tetapi setiap percubaan yang dilakukan berjaya dinafikan oleh kekebalan penjaga gol Kenari.

Selepas tambahan masa empat minit, perlawanan akhirnya ditamatkan dengan Kelantan menempah tiket ke perlawanan akhir Piala FA buat kali kedua berturut-turut menentang Sime Darby FC di Stadium Bukit Jalil, pertengahan bulan Mei nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular