Ulasan Perlawanan : KL Bukan Tandingan Kelantan.
The Red Warriors mudah menewaskan Kuala Lumpur 3-0 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.
Bermain dihadapan hampir 25 000 penyokong setia, Kelantan menguasai sepenuh masa perlawanan untuk melakar tiga jaringan pada babak kedua.
Permulaan babak pertama menunjukkan penguasaan penuh Sang Kijang apabila melancarkan serangan bertali arus bermula dengan percubaan deras Norshahrul Idlan Talaha yang diselamatkan penjaga gol Kuala Lumpur pada minit ke-8.
Berselang dua minit, giliran Shakir Shaari melakukan percubaan dari jarak 25 meter tetapi melewati palang gol.
Seminit kemudian, sentuhan penyerang import Kelantan, Mohamad Ghaddar diselamatkan Ahmad Dashila diatas garisan.
Tidak sampai seminit selepas itu, Mohamad Ghaddar terus mengsia-siakan peluang terhidang apabila dua percubaan hasil umpanan Norshahrul Idlan Talaha tidak menepati sasaran biarpun hanya perlu perlu menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur yang sekali sekala melakukan gerakan menyaksikan percubaan S. Sivaraj pada minit ke-16 jauh tersasar.
Pada minit ke-24, Mohamad Ghaddar yang menerima umpanan dari bawah melakukan larian solo sebelum melepaskan satu percubaan kencang tepat ke dakapan Mohamad Amirul.
Keghairahan tuan rumah melakukan serangan hampir membawa padah pada minit ke-30 selepas tampanan Muhd Afiq hasil hantaran lintang Hishamudin terkena tiang biarpun Khairul Fahmi sudah tertewas.
Menyedari pasukan pelawat mula bangkit menyerap asakan, barisan serangan Kelantan pantas mengandakan asakan dan satu percubaan Mohd Badri Radzi pada minit ke-36 hasil sepakan percuma mudah ditepis keluar penjaga gol pelawat.
The Red Warriors sepatutnya sudah didepan pada minit ke38 namun Ghaddar gagal menewaskan Amirul biarpun mempunyai ruang yang cukup luar menggegar jaring.
Sepakan libas Indra Putra Mahayuddin dari luar kotak penalti pada minit ke-42 pula sekadar menggegar tiang untuk menamatkan separuh masa pertama tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, Kelantan tidak menunggu lama melakukan jaringan apabila bermula daripada gerakan Aziz Ismail kepada Indra Putra, penyerang prolifik, Norshahrul Idlan Talaha bingkas melompat tinggi untuk menanduk masuk gol pertama tuan rumah.
Gol pertama menyemarakkan semangat pemain Kelantan memburu jaringan seterusnya dimana Shakir Shaari menyaksikan percubaan dari luar kotak penalti mudah ditangkap kemas penjaga gol Kuala Lumpur.
Begitu juga dengan sepakan lencong Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-55 turut mudah dikawal penjaga gol pelawat.
Walaupun seringkali menerima serangan Sang Kijang, skuad muda Kuala Lumpur tidak mudah menyerah kalah apabila gerakan yang bermula dari kawasan tengah pada minit ke-65 membuka ruang kepada Muhd Nur Hakim melepaskan sepakan kencang dari jarak dekat tetapi Khairul Fahmi lebih bersedia menepis keluar.
Tandukan Muhd Afiq dari dalam kotak penalti seminit kemudian turut berjaya diselamatkan Khairul Fahmi.
Menyedari Kelantan memerlukan lebih jaringan, Peter James Butler melakukan pertukaran pertama memasukkan Danny Antwi untuk mengantikan Mohamad Ghaddar.
Kemasukan Antwi memberi impak segera apabila gerakan yang dilakukan pemain ini menyebabkan pertahanan Kuala Lumpur melakukan kesilapan membolehkan pasukan Kelantan mendapat sepakan percuma diatas garisan penalti.
Mohd Badri Radzi yang mengambil sepakan, melencongkan bola ke penjuru kiri pintu gol Kuala Lumpur untuk jaringan kedua Kelantan pada minit ke-72.
Minit ke-77, penjaga gol Kuala Lumpur, Mohamad Amirul tertewas kali ketiga selepas hantaran dari Aziz Ismail digunakan Antwi untuk melepaskan sepakan leret terus menerjah jaring.
Jaringan ketiga menyentap semangat melawan pasukan pelawat dan memberikan penguasaan penuh kepada Kelantan tetapi gagal menambah jaringan.
Tambahan masa tiga minit tidak membawa sebarang erti sebelum perlawanan ditamatkan secara rasmi dengan The Red Warriors kekal di tangga teratas Liga Super untuk minggu kedua berturut-turut.
Kesebelasan Pemain:
Kelantan : Peter James Butler
Khairul Fahmi Che Mat (Gk), S. Subramaniam, Farisham Ismail, Daudsu Jamaludin, Aziz Ismail, Norfarhan Mohamed (Nurul Azwan Roya), Shakir Shaari, Mohd Badri Radzi (Kp), Norshahrul Idlan Talaha (Ramzul Zahini Adenan) dan Mohamad Ghaddar (Denny Antwi).
Kuala Lumpur : Razip Ismail
Muhamad Amirul (Gk), Hishamudin, Ahmad Jihad, Mohd Shafiq (Muhd Hazwan), Muhd Afiq, Mohamad Aslam Haja (Kp), S. Sivaraj (Fazuan Abdullah), Muhd Nur Hakim, Ahmad Dashila, Muhd Syafwan (Anuar Shafie) dan Aiman Syazwan.
Pemain Terbaik Perlawanan Pilihan : Mohd Badri Radzi.
Pemain Terbaik Perlawanan Pilihan : Mohd Badri Radzi.
Statistik Perlawanan
Gol
Kelantan 3-0 Kuala Lumpur
Sepakan Sudut
Kelantan 12-3 Kuala Lumpur
Offside
Kelantan 6-2 Kuala Lumpur
Kad Kuning/Merah
Kelantan 1/0-3/0 Kuala Lumpur
Posisi Bola (%)
Kelantan 65-35 Kuala Lumpur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan