Misi bukti keupayaan’
TENANG...Norshahrul (kanan) bersama Daudsu dalam latihan, semalam.
PERSEMBAHAN yang dipamerkan The Red Warriors di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini bakal menjadi kayu pengukur sejauh mana skuad kendalian jurulatih Peter James Butler itu mampu menghadirkan saingan merebut kejuaraan dalam kancah bola sepak tempatan musim ini selain cabaran Piala AFC.
Pandangan itu disuarakan ayam tambatan Kelantan, Norshahrul Idlan Tahala yang melihat perlawanan mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah menentang juara Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan itu bakal memberikan gambaran yang jelas tahap sebenar mereka.
“Sepanjang tempoh pra-musim, semua pemain sudah memberikan aksi yang terbaik kepada pasukan dalam setiap perlawanan namun malam esok (malam ini) adalah penentu sebenar kepada kami. “Sejauh mana keupayaan kami,” katanya yang diangkat sebagai pemain paling bernilai dalam kancah bola sepak tempatan musim lalu.
Pemain yang dikenali sebagai Mat Yo itu bakal bergandingan bersama dua lagi penyerang import, Muhamad Ghaddar dan Antwi Dennis Agyare di barisan depan bagi merobek gawang Negeri Sembilan dalam mempertahankan piala yang pertama kalinya dimenangi Kelantan pada musim lalu.
“Gandingan kami bertiga sebenarnya masih belum memuaskan hati lagi kerana banyak peluang sebelum ini gagal disempurnakan dengan baik walaupun banyak dicipta. “Jadi saya berharap kami dapat meningkatkan lagi persefahaman malam ini bagi memberikan permulaan yang baik kepada pasukan,” kata pemain berusia 26 tahun itu.
Sebelum ini, penyerang Harimau Malaya itu pernah menyuarakan kesukarannya berkomunikasi berikutan kesukaran Ghaddar yang tidak fasih berbahasa Inggeris.
“Dia ada mempamerkan peningkatan dalam berkomunikasi. Namun saya tidak bermasalah untuk membentuk persefahaman dengan Antwi,” katanya. Mengenai Negeri Sembilan, penyerang negara itu mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang mudah kemampuan lawan walaupun ramai tonggak mereka membuat keputusan berhijrah.
“Mereka mengharungi persediaan cukup serius dengan sejumlah pemain muda yang semakin mantap dan sebenarnya sudah mempunyai pengalaman yang cukup selepas diberikan pendedahan sempurna oleh jurulatih pengelalaman pada musim lalu,” katanya.
Kelantan memenangi piala terbabit untuk kali pertama musim lalu apabila menewaskan Selangor 2-0 namun bermula musim ini perlawanan terbabit tidak menawarkan sebarang mata untuk Liga Super.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan