KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Sabtu, 28 Januari 2012

Prebiu Perlawanan Liga Super 2012 : Kelantan mln Kuala Lumpur.


Selepas bercuti seminggu dari saingan Liga Super, Kelantan turun perlawanan kelima menanti kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam esok.


Kelantan yang bermain selaku tuan rumah mempunyai misi mengutip tiga mata disamping melebarkan rekod tanpa kalah kepada lima perlawanan berbanding anak buah Razip Ismail pasti tidak rela kempunan mencari sekurang-kurangnya satu mata bonus.

Atas kertas, Kelantan menjadi pilihan utama memenangi perlawanan kerana biarpun tidak mudah selagi wisel permulaan serta penamat tidak dibunyikan tetapi tetap satu tugasan antara yang termudah buat Peter James Butler selepas melihat pada aksi dan senarai pemain skuad Ibu Kota pada saingan kali ini.

Dalam beberapa perlawanan terakhir, Sang Kijang berjaya menampilkan aksi sederhana namun mampu mengutip mata penuh berbanding skuad muda Kuala Lumpur yang masih tercari-cari rentak setelah kehilangan ramai tonggak utama kepada pasukan lain.

Kedudukan The Red Warriors di carta nombor satu mungkin akan memberi sedikit tekanan kepada Butler untuk mencapai keputusan mata penuh seterusnya mengekalkan tempat di kedudukan teratas berbanding pelawat yang mungkin hadir dengan status "underdog".

Berdasarkan rekod pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Kota Bharu, Kelantan menang dua gol tanpa balas manakala rekod pertemuan keseluruhan sejak 2010 pula menyaksikan Sang Kijang turut menang kesemua perlawanan sama ada di arena sendiri ataupun bertandang ke tempat lawan.

Namun, setiap perlawanan dari tahun ke tahun kekal berbeza dengan Kelantan dan Kuala Lumpur bakal meneruskan persaingan untuk merebut tiga mata yang diperuntukkan dan aksi 90 minit menjadi penentu sama ada The Red Warriors dapat kutip tiga mata atau The City Boys mampu pulang dengan mata penuh.

Formasi dan Taktikal.

Peter Butler meredakan sedikit tekanan dalam mengatur senarai pemain kesebelasan utama dan taktikal perlawanan selepas menumpaskan Kedah secara menyeluruh pada perlawanan terakhir tempoh hari. Pada kali ini, dijangka tiada perubahan besar-besaran akan dilakukan beliau untuk mengekang pasukan pelawat dimana formasi 4-4-2 terus dikekalkan selain kesemua pemain tonggak dikhabarkan bebas dari masalah kecederaan dan sedang siap siaga untuk diturunkan.

Razip Ismail pula menghadapi laluan berliku kerana memerlukan pemerhatian lebih pada senarai pemain bagi mengukuhkan formasi yang akan cuba diterapkan kepada pemain. Dijangka beliau akan mengekalkan formasi 4-4-2 serta senarai pemain yang berjaya mengutip satu mata dengan PKNS tempoh hari di tempat sendiri.

Kesebelasan Jangkaan.

Kelantan

Bagi posisi nombor satu pasukan masih lagi diselebungi kontroversi antara Khairul Fahmi dengan pasukan negara menyebabkan status pemain ini masih lagi misteri sama ada dapat diturunkan pada perlawanan malam esok. Jika tidak, tugasan tersebut mungkin terpaksa diberikan kepada Syazwan ataupun Shahrizan Ismail untuk menggalas tempat mengawal kubu dari dibolosi pasukan pelawat.

Jentera pertahanan pasukan, tiada perubahan ketara dijangka kerana S. Subramaniam, Farisham, Daudsu dan Aziz kekal cergas untuk diturunkan. Jika ada perubahan mungkin berlaku di tempat pertahanan kiri dimana Zairul Fitree sudah kembali ke pangkuan pasukan selepas lama berehat ekoran masalah kecederaan panjang. Selain Zairul, tiada apa yang boleh diharapkan kepada pemain pertahanan lain kerana Azizi dikhabarkan tidak bersama skuad akibat tidak cergas manakala Zamri Ramli, Nik Shahrul Azim dan Rizal Fahmi seperti biasa memanaskan bangku simpanan sehingga dipanggil masuk pada babak kedua.

Bahagian tengah pula mungkin akan berlaku satu atau dua pertukaran dimana nama pemain simpanan seperti Nurul Azwan, S. Chanturu ataupun juga Khairul Izuan Rosli kemungkinan besar akan diselitkan dalam senarai kesebelasan pemain. Jika tidak berlaku pertukaran, nama seperti Badri Radzi (ketua pasukan), Shakir serta dua pemain sayap, Indra dan Norfarhan bakal kekal tidak tergugat. Itupun jika formasi 4-4-2 dikekalkan ataupun mungkin juga Butler akan cuba menerapkan posisi menyerang dengan meletakkan tiga penyerang dan tiga pemain tengah menyebabkan satu nama dari barisan pemain diatas bakal tercicir dari skuad utama.

Posisi penyerang, dijangka Norshahrul Idlan tidak direhatkan dengan gandingan pemain ini mungkin diberikan kepada Danny Antwi. Pemain import Kelantan tersebut sudah membuktikan prestasi cemerlang dengan kerajinan mengejar bola dapat membantu pasukan melakukan jaringan disaat tertekan menerima asakan lawan. Malah, jaringan pertama melalui bola padang selain "assist" cantik di Kedah tempoh hari mungkin memberikan Butler sedikit keyakinan untuk meletakkan Antwi dalam kesebelasan utama. Ghaddar mungkin bermula di bangku simpanan buat kali kedua dari lima pertemuan.

Kuala Lumpur.

The City Boys kehilangan penjaga gol utama mereka kepada Selangor memaksa mereka menggunakan pemain sedia ada untuk diletakkan di posisi permulaan. Dijangka Rozaimee Rohim dikekalkan selepas menampilkan aksi konsisten dalam dua perlawanan terakhir sebelum ini.

Bahagian pertahanan, mujurlah mereka dapat mempertaruhkan kelibat beberapa pemain yang berpengalaman di kejohanan tertinggi. Nama seperti Ahmad Jihad, Aslam Najmudeen (Ketua pasukan), Ahmad Dashila serta Aiman Syazwan yang diturunkan dalam beberapa perlawanan terakhir turut mungkin dipanggil Razip untuk memperkuatkan pasukan. Tetapi, dengan bertandang ke Kota Bharu melawan Sang Kijang mungkin tidak memberikan banyak pilihan kepada pengendali tersebut untuk menurunkan pemain simpanan dalam kesebelasan utama.

Jentera tengah pula, Syafiq Johari dijangka dikekalkan dan mungkin akan membentuk gandingan dengan pemain seperti S. Sivaraj di sebelah sayap kanan. Pemain pinjaman dari Felda, Azrul Azmi mungkin diturunkan dalam perlawanan pada malam esok di bahagian tengah selepas prestasi Khairulannuar Jamil gagal memberi impak berkesan pada corak taktikal jurulatih. Seorang lagi pemain kemungkinan besar menjadi milik Hishamudin Othman biarpun posisi asal pemain ini tempat pertahanan.

Posisi serangan, gandingan dua penyerang muda akan terus digunakan oleh Razip dan dia yakin dua pemain ini mampu menyerlah seperti mana dilakukan ketika melawan Lions dan PKNS. Kecemerlangan Syafwan Shahlan serta Afiq Azmi begitu ditagih untuk sekurang-kurangnya membuka peluang kepada pemain lain melakukan jaringan di Kota Bharu.

Pemain Tumpuan Perlawanan

Kelantan : Antwi -- Norshahrul Idlan -- S.Subramaniam
Kuala Lumpur : Syafwan Shahlan -- Afiq Azmi -- Syafiq Johari

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular