KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Khamis, 5 Januari 2012

Misi Tawan Bukit Jalil


Kelantan hormati Negeri Sembilan, peluang seimbang kedua-dua pasukan

KOTA BHARU – Setelah gelanggang perlawanan Sumbangsih terpaksa diubah rentetan keadaan cuaca yang tidak menentu di Kota Bharu sekarang, ada mesej jelas dilontarkan bukan sahaja kepada pemain tetapi juga penyokong setia The Red Warriors di Lembah Kelang bagi menawan kembali Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu ini.

Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim berkata, beliau tidak menganggap perubahan gelanggang ini menjadi satu masalah besar kepada pasukan The Red Warriors dalam usahanya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lalu.

“Seperti biasa di Kota Bharu penyokong kita sememangnya cukup ramai dan kalau main di Bukit Jalil pun saya rasa tidak ada bezanya. Mesej saya cukup jelas kepada penyokong di sana, kita hadir beramai-ramai bagi memberikan sokongan kepada pasukan kita pada Sabtu ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Sekarang hendak menjalani latihan di sini agak susah kerana hujan turun tidak menentu. Ada hikmah disebalik perubahan gelanggang ini kerana kita akan ke Kuala Lumpur lebih awal (hari ini) bagi mempersiapkan pasukan.

“Sekurang-kurangnya disebalik pertemuan menentang Negeri Sembilan pada Sabtu ini, kita turut berpeluang untuk menjalani latihan di padang rumput tiruan atau ‘artificial grass’ sebagai persediaan bertemu wakil Singapura, Lions XII di Stadium Jalan Besar pada 10 Januari nanti. Bagi saya kedua-dua perlawanan ini cukup penting bagi kita.

Mengulas mengenai perubahan gelanggang tersebut, Azman berkata, kedua-dua pihak pengurusan pasukan bersetuju memindahkan perlawanan yang sepatutnya dilangsungkan di Stadium Sultan Muhammad IV ke Stadium Nasional Bukit Jalil setelah mengambil kira faktor cuaca yang tidak menentu melanda Kota Bharu sekarang.

“Setelah kita bermesyuarat dan merujuk kepada laporan kajicuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Kelantan yang meramalkan hujan dijangka turun berterusan sehingga Sabtu ini, kedua-dua pihak bersetuju dengan pindaan tersebut.

“Saya harap peminat bola sepak di negeri ini dapat menerima perubahan ini. Kita tidak mahu mengambil risiko seperti apa yang berlaku pada perlawanan persahabatan menentang Terengganu di Kota Bharu hujung minggu lalu,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai peluang pasukan Kelantan dalam perlawanan tersebut, Azman menyifatkan kedua-dua pasukan sebenarnya mempunyai peluang yang seimbang untuk meraih kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah pada musim ini.

“Negeri Sembilan merupakan pasukan yang kuat meskipun tidak begitu menonjol dalam persiapan pra-musim mereka sebelum ini. Tetapi kita mesti ingat mereka merupakan juara Piala Malaysia musim lalu.

“Kita tidak memandang mudah pertemuan ini dan saya tetap menganggap peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang. Pasukan mana yang berjaya memanfaatkan setiap peluang terhidang, pasukan itulah pasti akan bergelar juara,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular