KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Jumaat, 13 Januari 2012

Prebiu Perlawanan Liga Super 2012 : Kelantan mln PKNS FC.

Thursday, January 12, 2012

Kelantan turun aksi kedua Liga Super Malaysia 2012 menentang Selangor PKNS di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam ini.


Dalam perlawanan pertama tempohari, nasib berbeza dialami Kelantan dan PKNS kerana Sang Kijang sukses membenam Lions XII di Singapura manakala anak buah Abdul Rahman Ibrahim tewas tipis kepada Johor FC di gelanggang sendiri.

Misi wajib menang dilaungkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kepada semua pemain yang berada dalam skuad The Red Warriors untuk perlawanan ini.

Berbanding pihak lawan pula mengatakan mereka akan muncul sebagai pasukan bukan pilihan tetapi tidak akan memberi laluan senang buat Kelantan mencatatkan kemenangan.

Atas kertas, mudah buat Peter Butler untuk mengemudi Sang Kijang memungut kemenangan kedua tetapi baki 90 minit masa diatas padang akan memungkinkan banyak perkara berlaku jika pemain tidak fokus.

PKNS dilabel pasukan pengacau pada saingan kali ini dan tidak mustahil juara bertahan Liga Perdana tersebut mampu untuk mengecewakan Kelantan. Namun semua pihak sedar, sukar sebenarnya buat PKNS melayan Kelantan kerana tiada rekrut tenaga import untuk memperkukuhkan skuad tetapi mujurlah kebanyakan pemain mereka pada musim lepas masih kekal dalam pasukan.

Berdasarkan rekod pertemuan terakhir di Kota Bharu, Kelantan menang 4-0 dalam saingan Piala Malaysia 2010 dan pertemuan terakhir kedua-dua pasukan juga pada 2010 dengan Kelantan menang 1-0 di Lembah Klang.

Formasi dan Taktikal.

Kejayaan muncul pemenang dalam saingan sukar di seberang tambak menunjukkan taktikal 4-4-2 yang dijalankan Peter Butler serasi dengan corak permainan Kelantan. Biarpun masih terdapat beberapa kelemahan ketara termasuk kesilapan mudah di bahagian pertahanan dan tengah, formasi ini dlihat paling ampuh buat Sang Kijang untuk menjinakkan PKNS. Butler bagaimanapun mempunyai banyak pilihan untuk merubah formasi dan taktikal keseluruhan dan siapa tahu, corak 4-3-3 bakal digunakan untuk memburu jaringan awal.

PKNS pula dijangka turut bermain dengan formasi menyerang dengan mengukuhkan kawasan tengah bagi mengurangkan tekanan serangan tuan rumah. Abdul Rahman Ibrahim dijangka menggunakan formasi 4-4-2 tetapi melihat pada aksi sebelum ini mungkin juga taktik 4-3-3 bakal dimanfaatkan untuk mencari jaringan. Beliau mempunyai tempoh sehari untuk memikirkan bagaimana mahu mengelakkan dari bocor lebih dari dua jaringan kepada pasukan tuan rumah.

Jangkaan Kesebelasan Utama

Pertemuan dengan PKNS dijangka tiada perubahan besar-besaran bakal dilakukan oleh Peter Butler dimana kesebelasan pemain yang diturunkan di tempat Lions mungkin dikekalkan. Bagi posisi penjaga gol, tiada keraguan bakal terus dimiliki Khairul Fahmi Che Mat.

Barisan pertahanan pula kemungkinan ada sedikit perubahan pemain dimana Azizi dijangka kembali kedalam pasukan untuk digandingkan dengan S. Subramaniam di pertahanan tengah. Zamri mungkin akan dimasukkan selaku pemain bagi posisi sebelah kanan manakala Aziz Ismail kekal di sebelah kiri.

Jentera tengah, tiada perubahan drastik mungkin Butler lakukan kerana kesemua pemain yang berada di posisi ini dilihat berkeupayaan untuk membentuk gandingan mantap bagi memecahkan kubu pasukan PKNS. Pemain seperti Shakir dan Badri Radzi bakal terus digunakan kerana bermain baik dalam perlawanan di Singapura. Begitu juga dengan Indra Putra. Satu tempat lagi bakal menjadi rebutan antara empat pemain iaitu Norfarhan, Antwi, Chanturu dan Nurul Azwan Roya.

Dua penjaring gol perlawanan sebelum ini, Norshahrul Idlan dan Mohamed Ghaddar mungkin tidak dikeluarkan dari skuad kerana dua pemain ini nyata membawa pengaruh besar kepada corak serangan Kelantan.

PKNS FC

Abdul Rahman Ibrahim dijangka melakukan beberapa perubahan dalam skuad terutamanya di posisi pertahanan kerana telah memberikan dua sepakan penalti kepada JOhor FC dalam perlawanan lepas. Malah pertahanan PKNS turut longgar sehingga membenarkan beberapa kali pasukan dari selatan tersebut memecah masuk kawasan bahaya untuk melakukan jaringan. Jika corak seperti itu dikekalkan, tidak mustahil pasukan Kelantan bakal mendapatkan mata penuh tanpa sebarang masalah.

Bagi posisi penjaga gol, Abdul Rahman tetap menaruh kepercayaan kepada Razi Effendi Suhit untuk mengawal kubu terakhir mereka kerana penjaga gol ini beraksi cemerlang menafikan banyak percubaan Johor FC, baru-baru ini. Biarpun turut dibarisi pemain berpengalaman seperti Remezey Che Ros, nama Razi menjadi sebutan untuk terus mengawal pintugol terakhir PKNS.

Barisan benteng, PKNS sebenarnya mempunyai ramai pemain berkaliber di kawasan ini termasuklah pemain kebangsaan, Helmi Remeli. Pemain ini dijangka kekal dalam kesebelasan utama selepas beraksi baik disamping ketua pasukan, Mohd Fadhil Hashim dan Ahmad Azlan Zainal. Selain itu, Helmi juga berkeupayaan melakukan percubaan tepat dari jarak jauh dan Abdul Rahman pasti mengharapkan kekuatan pemain ini untuk sekurang-kurangnya meledak dari kawasan tengah. Fadhil Hashim pula diharap melakukan seberapa banyak hantaran ke dalam kotak penalti Kelantan biarpun berstatus pertahanan manakala aksi Azlan Zainal sudah diakui antara yang terbaik di negara kita. Satu tempat lagi menjadi rebutan Farouk Hashim dan juga Fahrul Nizwan.

Jentera tengah, penjaring tunggal PKNS setakat ini, Mohd Fauzan Dzulkifli terus diberikan peranan utama disamping P. Rajesh. Manakala Mohd Zulhariz Nor mungkin diletakkan sekali lagi dalam kesebelasan utama pasukan manakala Mohd Fazli Baharudin dijangka bermula di senarai utama.

Barisan serangan, Mohd Khairul Akhyar dijangka akan digandingkan dengan bekas penyerang Selangor, Rudie Ramli untuk merobohkan benteng pertahanan pasukan Kelantan. Aksi Khairul Akhyar begitu memikat ketika membantu PKNS muncul juara pada musim lepas manakala Rudie pula mungkin mahu menjadikan penampilan dengan pasukan barunya bermula cemerlang dengan jaringan keatas pasukan tuan rumah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular