KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Isnin, 27 Mei 2013

Piala FA: Kelantan Pilih Jumpa Johor DT Di Final


KEMASUKAN Nwakaeme (kanan) banyak mengubah rentak serangan Kelantan pada aksi separuh akhir pertama menentang Terengganu di Kota Bharu kelmarin. Kelantan menang 4-1.
KELANTAN memasang impian untuk bertemu pasukan status bintang dari selatan tanah air, Johor Darul Takzim (Johor DT) pada final Piala FA musim ini.
Hasrat tersebut diluahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa selepas barisan pemain The Red Warriors menjelmakan kebangkitan yang menakjubkan untuk menumbangkan Terengganu 4-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.
Annuar berkata, pada aksi Liga Super minggu lalu, Kelantan tidak berkesempatan untuk mempertaruhkan barisan terbaik pada perlawanan tersebut, sekali gus menyaksikan mereka tumbang 0-2 kepada Johor DT.
Menurutnya, sekiranya Kelantan layak ke perlawanan akhir Piala FA, beliau mahu The Red Warriors mempertaruhkan barisan terkuat untuk menghadapi saingan pasukan dari selatan tanah air itu.
“Kita harap dapat bertemu Johor DT di pentas akhir sebab baru-baru ini kita tak puas hati kerana tak beraksi dengan skuad terbaik.
“Jadi, kita nak main dengan skuad penuh dan mahu menguji kekuatan dengan Johor DT di gelanggang berkecuali,” katanya di Kota Bharu semalam.
Tambahnya, beliau tetap mengingatkan barisan pemainnya supaya tidak berada di zon selesa meskipun memiliki kelebihan empat jaringan sebelum bertandang ke gelanggang lawan esok.
“Perlawanan masih berbaki 90 minit dan kita tidak boleh mengambil mudah kemampuan Terengganu.
“Pemain perlu meneruskan rentak konsisten pada perlawanan separuh akhir kedua nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu, Annuar menghamburkan pujian kepada barisan pemain Kelantan yang telah menjelmakan kebangkitan pada 10 minit terakhir, sekali gus mengubah keputusan perlawanan bagi membolehkan The Red War- riors meraih kemenangan selesa.
Katanya, beliau gembira dengan kesungguhan yang dipamerkan oleh barisan pemain Kelantan sepanjang perlawanan tersebut biarpun dikejutkan dengan jaringan awal pasukan pelawat pada minit kedua permainan.
Annuar yang sebelum ini mengkritik keras percaturan taktikal Bojan Hodak yang merehatkan beberapa pemain tonggak ketika tumbang kepada Johor DT, akhirnya bersetuju dengan pendekatan jurulatih berkenaan pada perlawanan dengan Terengganu semalam.
“Malam ini (kelmarin) kita bersetujulah (dengan percaturan Hodak) yang menurunkan pemain-pemain utama.
“Yang saya tidak setuju ialah dia simpan pemain pada aksi menentang Johor DT tetapi selepas mendapat penjelasan daripadanya, kita terima pendekatan yang digunakan,” jelasnya.
Akhbar tempatan sebelum ini melaporkan, Annuar mengecam tindakan jurulatih kelahiran Croatia itu di laman sosial Facebook miliknya sejurus perlawanan di antara Kelantan dan Johor DT tamat.
Bagaimanapun, Hodak mempertahankan tindakannya tidak memasukkan beberapa pemain utama dengan alasan mahu memberi mereka rehat yang secukupnya bagi menghadapi perlawanan separuh akhir pertama Piala FA menentang Terengganu.
Annuar berkata, teguran yang dilakukan beliau di Facebook bertujuan untuk ‘menyedarkan’ anak-anak buahnya supaya bangkit, selain turut membayangkan mereka bakal menikmati ‘durian runtuh’ jika berjaya melangkah ke final Piala FA nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular