KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Rabu, 15 Mei 2013

Kelantan tersungkur di Halaman Sendiri




PETRATOS (kiri) terjatuh selepas diasak pemain Kitchee SC pada pusingan kedua Piala AFC 2013 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.



IMPIAN Kelantan untuk mencipta sejarah mara ke pusingan suku akhir buat kali kedua berturut-turut pada Piala AFC tidak kesampaian selepas tumpas 0-2 kepada Kitchee Sport Club (SC) dari Hong Kong di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.
Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung secara kalah mati itu, pasukan pelawat melakukan asakan awal ke kubu tuan rumah menerusi percubaan menarik Chui Siu Kei pada minit keempat namun rembatan ketua pasukan itu berjaya ditepis keluar oleh Khairul Fahmi Che Mat.
Tersentak dengan asakan tersebut, Kelantan mula mengatur gerak dan memperoleh peluang terbaik untuk memecah kebuntuan pada minit ke-12 tetapi rembatan Dimitrios Petratos sekadar menggegar bahagian tepi jaring gol Kicthee SC.
Tiga minit kemudian, tuan rumah dikejutkan dengan gol pembukaan pasukan pelawat selepas pemain pertahanan skuad The Red Warriors, Lek Kcira tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba menghalang rembatan pemain Kicthee SC, Pablo Gonzalez Counago.
Pelawat terus mengasak Kelantan dan hampir berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-20 namun rembatan pemain pertahanan, Cheung Kin Fung berjaya ditepis keluar Khairul Fahmi.
Kelantan berada dalam situasi tertekan hasil serangan bertali arus pelawat sehingga memaksa barisan pertahanan tuan rumah yang diketuai Obinna Nwaneri bekerja keras untuk mengelak pintu gol mereka dibolosi.
Peledak berbisa Kitchee SC, Josep menambah derita tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua pasukan itu pada masa tambahan babak pertama, sekali gus memberikan kelebihan sebelum separuh masa kedua bermula.
Pada babak kedua, tuan rumah yang terdesak memburu jaringan membuat pertukaran dengan membawa masuk penggempur berbisa, Dickson Nwakaeme bagi menggantikan Mohd. Faiz Subri untuk menambah sengat di posisi serangan.
Percaturan Bojan Hodak membawa masuk Nwakaeme membuahkan hasil apabila barisan serangan Kelantan berjaya mencipta beberapa gerakan menarik.
Kelantan berjaya memperoleh gol pertama pada minit ke-63 menerusi Mohd. Nor Farhan Mohamad tetapi jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil dari Korea Selatan, Lee Min Hu selepas pemain itu berada di posisi ofsaid.
Tuan rumah terus kempunan untuk memperoleh gol apabila jaringan Nwakaeme sekali lagi dibatalkan selepas penyerang Kelantan itu berada dalam kedudukan ofsaid.
Tuah rumah nyata tidak berputus asa untuk mendapatkan jaringan namun rembatan Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-86 berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Kitchee SC, Wang Zhenpeng dan keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular