KELATEBOLA

LESEN

Lesen Creative Commons
karya ini dilesen dibawah satu Lesen Pengiktirafan 2.5 Malaysia Creative Commons.

Ahad, 12 Mei 2013

Annuar: Projek Bina Stadium Baharu Di Kelantan Tetap Diteruskan



Annuar Musa
PENASIHAT Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa (gambar) membayangkan hasratnya untuk melihat projek pembinaan stadium baharu di Kelantan diteruskan biarpun Barisan Nasional (BN) gagal mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), baru-baru ini.
Menurutnya, walaupun pembinaan stadium tersebut termasuk dalam tujuh janji yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya BN berjaya merampas kerajaan Kelantan daripada PAS tetapi beliau akan terus berusaha untuk merealisasikan impian seluruh rakyat Kelantan itu.
“Ketujuh-tujuh perkara yang dijanjikan oleh Perdana Menteri walaupun tidak lagi sebagai satu kemestian kerana BN gagal mendapat mandat rakyat tetapi kita akan cuba menggunakan saluran-saluran tertentu supaya ia dapat dilaksanakan di Kelantan.
“Saya harap sebahagiannya memberi faedah juga kepada kawasan yang saya wakili khususnya dalam soal stadium baharu ini,” katanya yang berjaya memenangi kerusi Parlimen Ketereh pada PRU-13 lalu.
Tambahnya, projek stadium ini mempunyai pertalian secara langsung dengan beliau yang juga merupakan ‘orang kuat’ KAFA dan beliau akan membuat permohonan dan mengesyorkan supaya stadium tersebut dibuat di kawasan Parlimen Ketereh.
Katanya, pihaknya telah mengemukakan tapak di kawasan Tunjong, dekat Kota Bharu, faktor keluasan tapak yang tidak mencukupi menimbulkan sedikit masalah apabila mengikut piawaian, ia memerlukan tanah seluas 20.2 hektar untuk memuatkan kawasan letak kereta dan akademi bola sepak.
“Kita telah kenal pasti dua tapak iaitu satu di Kok Lanas yang sudah menjadi milik kerajaan iaitu tanah milik Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), dan saya bercadang untuk berjumpa Pengerusinya dalam masa terdekat ini.
“Tapak kedua adalah tapak yang dimiliki oleh Kementerian Pelajaran di Peringat. Jadi, dua tapak ini kita akan cadangkan kepada kerajaan, jika tidak mahu melibatkan proses pengambilan tanah yang besar,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau lebih gemar memilih Kok Lanas dijadikan tapak stadium baharu itu berikutan tanah yang mempunyai saiz yang lebih daripada mencukupi selain sistem aliran trafik yang lebih fleksibel berbanding di kawasan Peringat.
Untuk rekod, kedua-dua kawasan, Kok Lanas dan Peringat berada dalam kawasan Parlimen Ketereh yang diwakili Annuar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catatan Popular