Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan memberikan bonus khas kepada
semua pemain dan pegawai pasukan atas kejayaan menewaskan Selangor
1-0 selain mempertahankan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri
sepanjang musim pada pertemuan Separuh Akhir pertama Piala Malaysia,
malam tadi.
Menurut pengumuman dari penasihan KAFA, Tan Sri Annuar Musa dalam laman
sosial Facebook, bonus ini akan diberikan seperti yang telah dijanjikan
beberapa hari lepas.
Pemain telah menunjukkan kesungguhan untuk mencipta kejayaan dan kita akan menunaikan setiap janji dengan membayar bonus kepada mereka, jelasnya.
Sebelum ini dalam laporan media, KAFA akan memberikan bonus kepada pemain jika berjaya melayakkan diri seterusnya menjulang Piala Malaysia buat kali kedua.
Pada pertemuan di Kota Bharu malam tadi, Kelantan berjaya menewaskan Selangor hasil jaringan Norfarhan Mohamad pada minit ke-61.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Shah Alam untuk separuh akhir kedua pada 12 Oktober 2012.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan