|
|
“SAYA pasti tuah bukan lagi milik Hairuddin (Omar) tetapi tuah bersama saya kali ini.”Itu keyakinan yang dilaungkan pemain sayap lincah The Red Warriors, Nurul Azuan Roya yang mahu menjadikan penampilan pertamanya di pentas final Piala Malaysia musim ini sebagai kenangan paling indah sepanjang karier sebagai pemain bola sepak.
Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Awe berkata, dia bersedia sepenuhnya untuk beraksi sekiranya diturunkan dalam perlawanan malam ini dan mahu menghadiahkan kejuaraan tersebut kepada peminat setia Kelantan.
Menurutnya, ini merupakan peluang terbaik untuknya melengkapkan koleksi kejuaraan peribadi selepas berjaya merangkul Piala FA dan Liga Super bersama Kelantan sebelum ini selain menjadi sebahagian daripada pasukan yang merangkul gelaran trebel.
“Peluang yang ada ini saya mahu manfaatkan sebaik mungkin kerana ia tidak selalu datang dan perlawanan akhir kali ini amat berlainan daripada biasa kerana kita membawa misi yang besar, jadi tanggungjawabnya juga cukup besar.
“Saya bertekad untuk membantu pasukan melengkapkan kejuaraan ketiga dengan meraih kemenangan dalam perlawanan tersebut seterusnya melakar sejarah trebel buat kali pertama,” katanya.
Sepanjang dua musim beraksi bersama The Red Warriors, Nurul Azuan membuat penampilan sebanyak dua kali di pentas final Piala FA serta berjaya mendakap tiga kejuaraan iaitu dua Liga Super musim 2011 dan 2012 serta Piala FA 2012.
Dalam pada itu, anak kelahiran Semerak, Pasir Puteh itu memberitahu, Kelantan tetap mempunyai peluang dalam perlawanan tersebut meskipun turun tanpa dua tonggak iaitu Mohammad Ghaddar dan Norfarhan Mohammad.
“Ketiadaan dua pemain tersebut sememangnya dirasai, mereka antara tonggak penting kejayaan kita musim ini. Namun, saya percaya jurulatih ada perancangannya tersendiri untuk menghadapi perlawanan tersebut.
“Bola sepak adalah permainan berpasukan, jadi saya minta kepada rakan-rakan sepasukan supaya dapat memberikan aksi terbaik dalam perlawanan tersebut.
“Ini peluang terbaik kita untuk menjulang kejuaraan trebel buat kali pertama seterusnya mencipta sejarah baharu,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan