The Red Warriors bawa bekalan tipis apabila sekadar menang 1-0 keatas
Selangor pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium
Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.
Beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong setia serba merah, Kelantan gagal mendominasi babak awal perlawanan setelah pasukan pelawat dilihat lebih merbahaya mengasak kubu mereka.
Peluang terbaik Selangor diperoleh pada minit ke-5 selepas hantaran
silang Amri Yah Yah disepak tinggi Bosko Balaban biarpun gawang Sang
Kijang sudah terbuka luas.
Bagaimanapun Kelantan memperkemaskan corak permainan mereka dan hampir melakar jaringan melalui rembatan Norshahrul Idlan Talaha beberapa minit selepas itu namun Norazlan Razali tangkas menepis keluar.
Bosko sekali lagi terlepas peluang keemasan apabila sepakan percuma dari
luar kotak penalti hanya sedikit keluar dari tiang sebelah kiri pada
pertengahan babak pertama.
Bersambung babak kedua, Kelantan mula dilihat mengatur serangan merbahaya melalui rangkaian Norshahrul, Ghaddar, Indar dan Norfarhan.
Pada minit ke-61, The Red Warriors akhirnya berjaya merobek gawang Selangor selepas Norfarhan menggunakan kesilapan Fitri Syazwan dengan rembatan deras menewaskan Norazlan Razali.
Selangor yang tersentak dengan jaringan tuan rumah kian tertekan apabila
Nasriq Baharom dilayangkan kad merah terus oleh pengadil selepas
mengasari Nurul Azwan Roya.
Kelebihan seorang pemain bagaimanapun gagal digunakan sepenuhnya oleh pemain Kelantan untuk menambah jaringan bagi membawa bekalan tipis ke Shah Alam untuk aksi timbal balik minggu depan.
sumber:redsfc news
Tiada ulasan:
Catat Ulasan