Anak buah Bojan Hodak hanya selangkah lagi untuk catat kejuaraan trebel
Shah
Alam: Klimaks Piala Malaysia musim ini menyaksikan pertembungan dua
sang juara – juara Liga
Super, Kelantan dan juara Liga Perdana, Tentera
apabila kedua-dua mara ke final, 20 Oktober ini.
Di
Stadium Shah Alam, malam tadi, pertaruhan angka ’3′ oleh Kelantan dan
Selangor lebih memihak kepada jaguh Pantai Timur itu apabila merekodkan
kemenangan 2-0 ke atas Red Giants.
Walaupun
perlawanan yang disajikan jelas seimbang tetapi segala usaha keras The
Red Warriors berbalas dan kini hanya memerlukan tempoh 90 minit lagi
sebagai detik penentu di pentas final untuk merangkul piala paling
berprestij itu.
Selepas Piala FA dan
Piala Liga Super berada dalam genggaman, kemenangan malam tadi bermakna
peluang Pahlawan Merah untuk mendakap kejuaraan kali kedua Piala
Malaysia hampir menjadi realiti.
Bagaimanapun,
Selangor yang ketinggalan satu gol ketika tewas 0-1 di Kota Bharu,
Jumaat lalu langsung tidak dihiraukan apabila terus melakukan asakan ke
kubu lawan dan hasilnya seawal minit pertama, kaptennya, Safiq Rahim
terlepas peluang menjaringkan gol selepas sepakan percumanya tersasar.
Permainan
bertambah menghiburkan apabila penyerang pelawat, Mohammed Ghaddar
melakukan percubaan 12 minit kemudian, tetapi sempat dikuis oleh penjaga
gol, Norazlan Razali.
Tonggak tengah
The Red Warriors, Indra Putra Mahyuddin juga tidak berupaya mengukuhkan
agregat apabila sepakan ‘chip’ yang dilakukannya pada minit ke-38
sekali lagi dikecewakan oleh Norazlan.
Lima
minit selepas itu, Selangor melakukan asakan dan rembatan kencang
penyerang importnya, Bosko Balaban dari luar kotak penalti diselamatkan
oleh penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Kelincahan
Ghaddar cukup menghadirkan kekacauan di benteng tuan rumah apabila
berjaya melepaskan diri untuk merobek gawang, tetapi Selangor sekali
lagi bernasib baik kerana Norazlan terus mengecewakan Kelantan daripada
menambah jaringan.
Sebaik memasuki
minit ke-84, The Red Warriors ternyata lebih layak untuk memegang status
‘Red’ yang sebenar apabila gerakan solo Ghaddar sebelum melakukan
‘chip’ berjaya melebarkan kedudukan agregat 2-0.
Dia melakukan menjaringkan gol pertama perlawanan hasil gerakan cantik menewaskan tiga pertahanan lawan.
Mohd
Badhri Radzi terus menghukum kelekaan lawan apabila sepakan percumanya
menerjah gawang sekali gus membawa Kelantan ke final dengan kemenangan
agregat 3-0.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan