Pemain pasukan Kelantan meraikan kejayaan menjuarai
Piala Malaysia 2012
selepas menewaskan ATM 3-2
pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam,
malam tadi.
SHAH
ALAM – Kelantan mengesahkan selaku kuasa besar bola sepak negara musim
2012 dengan melengkapkan kejuaraan treble selepas menjulang Piala
Malaysia buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun apabila menewaskan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 dalam babak akhir, semalam.
Indra
Putra Mahayuddin layak dijulang selaku wira The Red Warriors apabila
jaringannya pada masa tambahan pada minit ke-96 hasil serangan pantas,
menjulang Kelantan selaku juara Piala Malaysia edisi kali ke-96 sekali
gus menjadikan tahun 2012 sebagai tahun paling bermakna dalam sejarah
bola sepak Kelantan.
Jaringan
kemenangan daripada Indra itu seolah-olah mengesahkan kata-kata
pengendali Kelantan, Bojan Hodak pada sidang media pengurus pasukan
kelmarin, yang mengatakan ATM tidak dapat bertahan sehingga penghujung
perlawanan kerana terdiri daripada ramai pemain berumur.
Berpunca
daripada gerakan pantas Shakir Shaari dan Mohd. Badri Mohd. Radzi atau
Piya yang tidak dapat dibendung pemain ATM, Indra pantas mencari ruang
kosong sebelum melepaskan rembatan menarik ke arah sebelah kanan pintu
gol.
Sebelum itu, Norshahrul Idlan
Talaha atau Mat Yo yang diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan akhir
dua kali meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-44 dan 50, namun
dapat disamakan sebanyak dua kali oleh ATM melalui Rezal Zambery Yahya
pada minit ke-49 dan Marlon Alex James pada minit ke-62.
Kekalahan
ATM bermakna tiada lagi magis Hairuddin Omar dalam penampilan final
kelima Piala Malaysia apabila buat pertama kali pemain berusia 33 tahun
itu gagal membawa pulang trofi keagungan bola sepak negara bersama
pasukan yang diwakilinya selepas melakukannya empat kali sebelum ini
bersama Terengganu, Negeri Sembilan dan Kelantan.
Dalam
aksi akhir yang disaksikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM), Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad
Faiz Petra serta kira-kira 80,000 penonton itu, kedua-dua pasukan
berjaya menampilkan permainan menghiburkan tetapi diselangi kekecohan di
babak terakhir perlawanan ekoran keputusan pengadil yang mengundang
kontroversi.
Malah, hampir terjadi
pergaduhan ketika perlawanan tinggal lima minit untuk ditamatkan selepas
pemain ATM bertindak meneruskan perlawanan ketika Indra mahukan Shakir
yang cedera diberikan rawatan namun pengadil, Nafeez Abd. Wahab pantas
membendung insiden lebih buruk daripada terjadi.
Barisan
tengah ATM dilihat cukup pincang pada babak pertama biarpun dibarisi
pemain berpengalaman seperti Rezal Zambery Yahya dan Bruno Martelotto
apabila gagal merencanakan sebarang gerakan menarik.
Christie
Jayaseelan dilihat sedikit gugup pada penampilan pertama di final
selain Marlon Alex James dapat dirantai kemas oleh Obinna Nwaneri.
Situasi
itu bijak dieksploitasi oleh Kelantan sepenuhnya yang mempamerkan
rentak penuh bertenaga dengan sekurang-kurangnya empat percubaan tepat
dengan salah satunya menembusi gawang ATM pada minit ke-44.
Kesilapan
Farizal Harun yang tidak menangkap kemas rembatan Mat Yo yang menerima
umpanan Mohd. Badri Mohd. Radzi atau Piya membuka tirai jaringan
Kelantan, ketika perlawanan separuh masa pertama hanya menunggu masa
untuk ditamatkan.
Pengendali ATM, B.
Sathianathan bagaimanapun ternyata mempunyai percaturannya tersendiri
pada separuh masa kedua dan pasukannya hanya menunggu masa selama empat
minit sebaik permainan bermula untuk menyamakan kedudukan melalui Rezal
Zambery hasil sepakan leret dari jarak 25 meter.
Kegembiraan
ATM bagaimanapun hanya bertahan selama seminit apabila Norshahrul
sekali lagi membuktikan bisanya belum hilang menerusi serangan balas
pantas dan memperdaya K. Reuben sebelum melepaskan sepakan yang tidak
diselamatkan Farizal.
Namun, semangat
juang ATM sama sekali tidak padam, percaturan bijak Sathia memasukkan
dua pemain gantian, Venice Elphi Danny Kaya dan Mohd. Fitri Omar
mengambil alih peranan sayap kiri pada minit ke-60 ternyata membuahkan
hasil mengkucar-kacirkan benteng Kelantan.
Selepas
Venice dijatuhkan berhampiran kotak penalti di sebelah kiri pintu gol
Kelantan, Marlon melonjak tinggi menanduk masuk ke dalam gawang bagi gol
penyamaan ATM pada minit ke-62.
Kelantan
bagaikan berada dalam lamunan kira-kira 15 minit perlawanan selepas ATM
dapat menyamakan kedudukan tetapi tiada sebarang jaringan dapat
dihasilkan sehingga memaksa perlawanan diheret masa tambahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan