ghaddar dimasukkan pada babak kedua
KOTA BHARU – Juara Piala FA dan Liga
Super, Kelantan melaungkan keyakinan tinggi mampu menyingkirkan cabaran
Felda United FC, apabila kedua-dua pasukan turun berentap dalam aksi
suku akhir kedua kempen Piala Malaysia edisi ke-86 di Stadium Sultan
Muhammad IV, malam ini.
Keyakinan itu
disuarakan pengendali The Red Warriors, Bojan Hodak yang menyifatkan
pasukan berstatus kelab berpangkalan di Lembah Kelang itu, tidak
berupaya menyekat kemaraan mereka mara ke separuh akhir, sekali gus
mencerahkan peluang memburu kejuaraan treble pertama musim ini.
“Kami
mempunyai kelebihan segala-galanya. Dua gol di tempat lawan dan
puluhan ribu penyokong yang membanjiri stadium malam ini, sudah cukup
bagi kami untuk memburu slot ke separuh akhir,” katanya ketika dihubungi
Sinar Harian semalam.
“Kami adalah
pasukan pilihan ke saingan seterusnya. Mana mungkin perjalanan kami akan
berakhir di sini (suku akhir). Ini gelanggang keramat Kelantan, dan
kami tahu bagaimana cara untuk menunjukkan jalan keluar kepada Felda
United FC.
Justeru Hodak, menuntut
anak buahnya berjuang habis-habisan dan memburu gol seawal mungkin, bagi
memastikan skuad bimbingan E Elavarasan itu terus dihimpit tekanan
berganda.
“Pemain saya tahu apa yang
perlu mereka dilakukan malam ini. Dapatkan gol awal dan itu kunci untuk
kita menyingkirkan Felda United. Jangan biarkan pemain lawan bergerak
bebas walaupun seinci.
Pada masa
sama, Hodak mengakui pasukannya sekali lagi bakal berdepan dengan corak
permainan bertahan yang diterapkan Felda United FC, sesuatu yang cukup
dibenci jurulatih dari Croatia setiap kali bertemu dengan pasukan
tersebut.
“Saya menjangkakan situasi
yang sama berulang. Sembilan atau 10 pemain berkampung, macam letak bas
di depan pintu gol mereka. Ia memang sukar menjaringkan gol, tetapi kami
harap tidak terperangkap lagi dengan situasi seperti itu malam ini.
Dalam
perkembangan sama, Hodak turut membayangkan bakal melakukan rombakan
kecil terhadap kesebelasan utama Kelantan yang akan diturunkan pada
pertemuan malam ini.
“Ada satu atau
dua pemain yang tidak beraksi perlawanan lalu, saya akan kembali
senaraikan. Namun saya tidak boleh dedahkan lebih awal. Esok (hari ini)
baru saya akan kenal pasti barisan terkuat Kelantan.
“Mohamad
Ghaddar saya letak di bangku simpanan dahulu. Dia belum bersedia
beraksi untuk tempoh 90 minit. Jadi, seperti biasa dia akan diturunkan
pada babak kedua,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan